April 19, 2014

Ribut terbangkan bumbung rumah

Maria (kiri ) bersama anaknya, Abdul Abu (tengah) dan Abdul Samad (kanan) menunjukkan atap zink rumah mereka yang tercabut dalam kejadian ribut, lewat petang kelmarin.

JASIN - "Tiba-tiba saya terdengar bunyi benda jatuh atas siling rumah," kata Norizan Samad, 38, mengenai kejadian ribut di Ayer Merbau, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, 20 rumah termasuk di kawasan perumahan dan kampung berhampiran rosak dipukul ribut selepas hujan lebat.

Norizan berkata, ketika kejadian, dia bersama empat lagi anaknya berusia antara empat hingga 12 tahun sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Tiba-tiba bunyi objek jatuh atas siling dan pada masa sama kipas siling basah dan dipenuhi air. Terkejut dengan keadaan itu, saya segera menyuruh anak-anak ke belakang rumah untuk menyelamat diri.

"Alangkah terkejutnya saya apabila melihat atap rumah yang dihuni sejak 10 tahun lalu tercabut dan diterbangkan angin menyebabkan ruang tamu digenangi air hujan," katanya.

Sementara itu, warga emas, Maria Senin, 70, berkata, hujan lebat disertai angin kuat menyebabkan lebih 10 atap zink rumahnya diterbangkan angin hingga 20 meter sebelum tersangkut pada sebatang pokok mangga.

"Sejak tinggal di sini kira-kira 40 tahun yang lalu, ini merupakan kali pertama angin kuat sebegini berlaku namun mak cik bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mak cik masih terkejut dengan kejadian ini dan buat masa mak cik menumpang sementara di rumah anak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Ayer Merbau, Zakaria Hamid menasihatkan mereka supaya membuat laporan polis berkaitan kerugian dialami bagi memudahkan bantuan disalurkan.

“Apa yang kita bimbangkan kampung ini menjadi kawasan lintasan angin memandangkan pada tahun lalu juga berlaku kejadian ribut namun tidak seteruk kali ini," katanya.

Sinar Harian 17 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment