April 19, 2014

Bau asap selamat nyawa

Keadaan empat rumah estet yang musnah akibat kebakaran di Kampung Ladang Transkerian.

TRANSKERIAN - Bau asap tebal dari rumah jiran menyelamatkan sepuluh beranak daripada rentung dalam kejadian kebakaran melibatkan empat rumah di Kampung Ladang Transkerian, di sini petang kelmarin.

Mangsa kebakaran, G Vicneswaran, 21, berkata, dalam kejadian jam 5 petang, dia bersama sembilan ahli keluarga lain sedang berehat di bahagian ruang tamu rumah sebelum menyedari bau asap yang kuat dari rumah jiran bersebelahan.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangkakan bau itu berpunca daripada jiran bersebelahan yang sedang memasak, namun ianya semakin kuat dan menyebabkannya sesak nafas.

“Setelah terhidu bau seakan-akan benda terbakar, saya bergegas keluar rumah dan terkejut mendapati api sedang marak membakar tiga rumah jiran.

“Api marak juga membakar bahagian dapur rumah kami dan saya segera mengarahkan kesemua ahli keluarga keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Vicneswaran berkata, sejurus memastikan kesemua ahli keluarga selamat melarikan diri, dia segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal untuk bantuan memadamkan kebakaran.

Menurutnya, berikutan kejadian malang itu, mereka sekeluarga kehilangan tempat tinggal dan mengalami kerugian lebih RM10,000 setelah hampir keseluruhan rumah musnah dijilat api.

“Kami juga tidak sempat untuk menyelamatkan kesemua dokumen penting yang disimpan, namun bersyukur tiada ahli keluarga yang tercedera dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, M Vijayan ketika ditemui menegaskan pihaknya menerima laporan kebakaran pada jam 5.13 petang dan tiba di lokasi kejadian dalam tempoh tiga minit.

Menurutnya, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap seramai 14 anggota, Bomba Sukarela Nibong Tebal, Bomba Sukarela  Parit Buntar, Bomba Sukarela Sungai Jawi, Bomba Sukarela Kuala Kurau dan Bomba Sukarela Bagan Tiang, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.25 petang.

“Siasatan awal mendapati kebakaran bermula daripada bahagian kanan deretan rumah estet di sini yang diperbuat daripada papan dan seterusnya merebak ke bahagian kiri dengan kadar pantas.

“Api marak berjaya dikawal sebaik sahaja ianya sampai ke pintu rumah mangsa ketiga dan dipadamkan sepenuhnya setelah sebahagian rumah mangsa keempat dibakar.

“Mujur respons pantas anggota bomba dan sukarelawan berjaya mengelakkan api merebak ke rumah lain memandangkan bantuan angin mampu menyebabkan lebih 15 rumah di situ terlibat sama,” katanya.

Vijayan berkata, pihaknya dimaklumkan tiada penghuni di rumah pertama dan kedua sewaktu kejadian berlaku, manakala seramai sepuluh orang dikenal pasti berada di rumah ketiga dan keempat.

“Kita akan membuat siasatan menyeluruh terhadap punca sebenar kejadian dan laporan penuh dijangka akan dikeluarkan minggu hadapan,” katanya.

Sinar Harian 17 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment