April 12, 2014

Ragut tiga nyawa

Keadaan bas ekspress dua tingkat yang membawa 68 penumpang remuk teruk selepas terbalik di Bukit Lebu jalan Bentong-Raub mengakibatkan tiga maut tengah malam tadi. FOTO Azmaidi Abidin

Bentong: Tiga penumpang maut, empat parah manakala 63 penumpang cedera apabila bas ekspres dinaiki terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Bukit Lebu, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, bas ekspres dua tingkat berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian bas berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

Pegawai Bertugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, Inspektor Nurhuda Mohd Fadzil, menjelaskan mayat tiga penumpang yang maut dan mangsa parah sudah dihantar ke Hospital Bentong.

Katanya, penumpang lain yang cedera turut dihantar ke Hospital Bentong dan Hospital Raub untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, mangsa yang maut seorang wanita dan dua lelaki dan identiti mangsa masih belum dapat dipastikan.

myMetro 12 Apr 2014


Guna siku kawal stereng 

BAS Ekspres Transnasional dua tingkat yang terbabit kemalangan di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub berhampiran Bukit Lebu, dekat Bentong menyebabkan tiga kematian dan 10 cedera parah, semalam.

ANGGOTA bomba dan JPAM mengangkat seorang penumpang yang cedera. 

ANGGOTA bomba memapah seorang penumpang yang cedera selepas bas ekspres dua tingkat membawa 68 penumpang terbabas dan terbalik. 

Bentong: Pemandu bas pandu laju dan kerap menghantar SMS menggunakan telefon bimbitnya sepanjang jalan,” dakwa seorang penumpang Norfazillah Zainuddin, 22, yang turut mengalami kecederaan di kaki dalam kemalangan bas ekspres di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub, berhampiran Bukit Lebu dekat sini, tengah malam semalam.

Menurut Norfazillah, dia yang takut dengan sikap pemandu itu membuat keputusan tidak mahu tidur sepanjang perjalanan, malah turut menegur pemandu bas itu yang memandu sambil menghantar SMS dan hanya mengawal stereng menggunakan siku.

Katanya, beberapa penumpang lain turut menegur pemandu itu tetapi dia menjawab ‘sudah biasa, tak ada masalah’ dan terus memandu laju.

“Ketika sampai di tempat kejadian, saya lihat pemandu itu tidak menumpukan perhatian kerana sibuk menghantar SMS menggunakan telefon bimbitnya sebelum bas hilang kawalan dan memasuki ke laluan bertentangan.

“Saya menyedari bas sudah memasuki lorong sebelah (kanan) dan menuju ke arah bukit dan terus menjerit ‘awas’ kepadanya tetapi sudah terlambat, bas melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terheret di tepi bukit.

“Pemandu cuba mengelak dengan memusingkan stereng ke arah kiri selepas terlanggar bukit menyebab-kan bas terus terbalik dan terseret di atas jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Bentong selepas mendapatkan rawatan.

Menurutnya, dia yang berkerja sebagai kerani di sebuah kilang elektronik menaiki bas berkenaan pulang ke kampungnya di Tumpat, Kelantan untuk membawa ibunya mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, polis akan menyiasat dakwaan beberapa penumpang yang mengatakan bas ekspres berkenaan dipandu laju termasuk pemandunya membaca dan berbalas SMS.

myMetro 13 Apr 2014


Kejutan ajal 

Kota Bharu: “Dia tak beritahu nak balik kerana mahu buat kejutan, tapi tak sangka begini jadinya... dia pula mengandung lima bulan. Maaf, saya tak boleh cakap lagi... sakit dada ni,” rintih Mahni Othman, 72, ibu kepada Zarifah Alias, 27, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub berhampiran Bukit Lebu, dekat sini, tengah malam semalam.

Zarifah antara tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu. Turut meninggal dunia suaminya yang juga warga Somalia Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, dan Suhaisam Che Abdulla, 33, dari Batang Kali, Selangor.

Seramai 10 lagi mangsa dilaporkan parah dan menerima rawatan di Hospital Bentong dan Hospital Temerloh. Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Jeman, Salor, di sini, Mahni berjubah hitam dan ditemani saudara-mara masih terkejut serta sedih atas kejadian menimpa anak bongsu dan menantunya. 

Difahamkan, anak dan menantu Mahni yang meninggal dunia itu membawa bekalan kelapa dari Somalia yang diperoleh Saeed Mohamad ketika melawat keluarganya di sana bulan lalu.

Menurut kakak kedua Zarifah, Zalilawati, 42, pasangan itu tidak memberitahu sesiapa mengenai kepulangan mereka, termasuk ibunya dan ayah Alias Ismail, 72.

“Dia menelefon mak dua hari lalu untuk bertanya khabar dan memaklumkan akan pulang, tetapi tidak menetapkan tarikh kerana mahu membuat kejutan.

“Sebab itu kami sekeluarga tidak tahu mereka sebahagian penumpang bas itu hinggalah jam 6 pagi tadi (semalam) rakan Zarifah datang ke rumah memaklumkan Zarifah dan Saeed terbabit dalam nahas itu.

“Ketika itu, dia hanya memberitahu Saeed yang meninggal dunia. Hanya selepas gagal menghubungi telefon bimbit Zarifah dan meminta saudara mencarinya di rumah mereka di Keramat, Kuala Lumpur baru kami tahu dia juga meninggal dunia selepas menyemak senarai nama mangsa di Hospital Bentong,” katanya. 

Menurutnya, Zarifah berkhidmat sebagai penyelidik sambilan yang kini menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya (UM), manakala Saeed Mohamad penuntut ijazah kedoktoran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus ibu negara dan bakal berkhidmat dengan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

“Kedua-duanya berkahwin 7 Disember tahun lalu dan menanti kelahiran anak sulung. Bahkan, Zarifah paling teruja dan berharap mendapat cahaya mata lelaki kerana dia ada nama untuk anaknya yang akan dipanggil ‘Bilal’.

“Kami sekeluarga tidak menyangka akan menyambut mereka dengan cara begini. Sedih sangat kerana kami adik-beradik sangat rapat dan dia adik bongsu daripada tujuh beradik serta paling ceria dalam keluarga. 

“Dia penghibur kami dan minatnya untuk belajar menyebabkan dia kerap berjauhan dengan kami. Kali terakhir kami berjumpa ketika arwah mengalami alahan teruk Februari lalu, dan dimasukkan ke Hospital Pasir Mas,” katanya.

Jenazah Zarifah dan Saeed Mohamad dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan kampung itu, malam semalam.

myMetro 13 Apr 2014


Jeritan tengah malam

Bentong; Bas ekspres dipandu laju di laluan selekoh dipercayai menjadi punca ia terbabas dan melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terbalik ke sebelah kiri di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, berhampiran Bukit Lebu, dekat sini, tengah malam semalam.

Kejadian jam 12.30 malam itu menyebabkan tiga penumpang terbunuh di tempat kejadian, termasuk sepasang suami isteri, 10 parah serta 55 lagi cedera ringan.

Mereka dibawa ke Hospital Bentong dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Bas Ekspres Transnasional dua tingkat membawa 68 penumpang itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kota Bharu, Kelantan.

Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah Zarifah Alias, 26, beralamat di Kampung Padang Jeman Salor, Kota Bharu, Kelantan dan suaminya warganegara Somalia, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, beralamat di Kediaman Siswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Setapak, Kuala Lumpur serta Suhaisam Che Abdulla, 33, dari Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, pemandu bas Wan Khairul Affendi Mustafa, 39, berasal dari Kubang Kerian, Kelantan dipercayai memotong beberapa kenderaan di laluannya sebelum hilang kawalan di satu selekoh. Katanya, bas ekspres itu kemudian melanggar tiang elektrik di kanan jalan sebelum terbalik di sebelah kiri sehingga ada penumpang tersepit di dalamnya.

myMetro 13 Apr 2014


‘Ia tidak sepatutnya berlaku’

Kuala Lumpur: Kemalangan membabitkan sebuah bas Ekspres Transnasional dua tingkat di Kilometer 11 Jalan Bentong - Raub, Bukit Lebu, Pahang, tengah malam Jumaat lalu disifatkan sebagai kejadian yang tidak sepatutnya berlaku berikutan syarikat pengendali bas ekspres itu mempunyai sistem navigasi berteknologi tinggi.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kenderaan di bawah pengendalian syarikat Konsortium Transnasional Berhad (KTB) itu dilengkapi dengan sistem navigasi yang berupaya mengenalpasti kenderaannya yang dibawa melebihi had laju atau jika ada sebarang masalah lain.

“Sistem itu juga difokuskan terhadap bas bertingkat yang melalui kawasan bercirikan cerun dan bukit kerana memerlukan kecekapan memandu yang tinggi.

“Jadi, jika sistem ini digunakan sebaik mungkin, mungkin kemalangan yang berlaku dapat dielakkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga penumpang terbunuh termasuk sepasang suami isteri, 10 parah manakala 55 lagi penumpang cedera ringan.

Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dengan membawa seramai 68 penumpang.

Menurutnya, kejadian ini menjadi pengajaran bukan saja kepada pihak KTB malah kepada syarikat pengendali bas lain supaya memperhebatkan sistem keselamatan dan memantau latar belakang pemandu.

“SPAD akan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan pihak polis untuk menjalankan audit keselamatan mengenai kejadian ini.

“Siasatan akan dijalankan secepat mungkin dan tidak menolak kemungkinan berpunca daripada kecuaian pemandu, namun itu semua akan dimaklumkan selepas semuanya selesai,” katanya.

Katanya, keterangan daripada penumpang dan pemandu akan diambil untuk proses audit keselamatan untuk mengenal pasti situasi kejadian.

myMetro 14 Apr 2014


Siasat dakwa drebar sibuk SMS

Kuantan: “Kita (polis) akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu secara menyeluruh, tunggu hingga laporan selesai,” kata Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor.

Beliau yang dihubungi semalam berkata, polis akan melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian itu termasuk dakwaan penumpang yang mengatakan bas dua tingkat itu dipandu laju manakala pemandunya pula sibuk berbalas SMS.

“Tunggu hingga laporan selesai,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai siasatan kemalangan yang meragut tiga nyawa dalam kejadian di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub dekat Bukit Lebu, Bentong, jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Mohamad Mansor berkata, tujuh mangsa yang parah dirawat di tiga hospital berasingan termasuk pemandu bas dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, dua mangsa masih menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh manakala empat lagi di Hospital Bentong.

myMetro 14 Apr 2014


Drebar bas ekspres dituduh ambil morfin

Bentong: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan tiga penumpang terbunuh di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub, tengah malam Jumaat lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, bagi menghadapi tuduhan menggunakan dadah jenis morfin.

Bagaimanapun tertuduh, Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 39, dari Kubang Kerian, Kelantan, tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan morfin selepas hasil ujian air kencingnya di Hospital Bentong pada jam 10.30 pagi, 12 April lalu, menunjukkan dia positif menggunakan dadah berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu turut ditemani isteri serta saudaranya sepanjang prosiding berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Anuar Afindi, manakala tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 namun tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara isteri serta lima anaknya yang masih bersekolah.

Mohd Isa membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, tiga penumpang terbunuh termasuk sepasang suami isteri, 10 cedera parah manakala 55 lagi penumpang cedera ringan.

Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dengan membawa seramai 68 penumpang.

Bagaimanapun, Wan Khairul Efendi ditahan semula selepas prosiding semalam mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membantu siasatan berhubung kemalangan terbabit.

myMetro 17 Apr 2014


Drebar mohon bicara

Bentong: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Bentong-Raub, dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga penumpang.

Wan Khairul Efendi Wan Mustapa, 35, yang berasal dari Bachok, Kelantan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.

Tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian Suhaisam Che Abdulla, 33, dan pasangan suami isteri, Saeed Mohamad Mohamud Abdalla, 31, (warga Somalia), dan isterinya Zarifah Alias, 26.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 11 Jalan Baru Bentong-Raub pada jam 12.30 pagi, 12 April lalu.

Bagi perbuatan itu, Wan Khairul Efendi didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 selain lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Inspektor Anuar Affindi manakala tertuduh diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff.

Majistret Mohd Isa membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah juga memerintahkan lesen tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Pada 16 April lalu, Wan Khairul Efendi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis morfin pada tarikh dan tempat yang sama.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, tiga orang termasuk sepasang suami isteri maut manakala sepuluh lagi cedera selepas sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan terbalik.

myMetro 22 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment