April 11, 2014

Anak mati didera, bapa ditahan polis



MELAKA 8 April - Seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali sebagai Nur Auni Darmya, berusia setahun lapan bulan maut dipercayai akibat didera di sebuah rumah di Bukit Katil Permai, di sini Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang itu, kanak-kanak malang tersebut disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan pada hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, laporan bedah siasat terhadap mangsa yang mempunyai adik kembar itu mendapati, terdapat kesan bengkak di kepalanya dipercayai dihentak menggunakan objek tumpul.

Menurutnya, susulan laporan bedah siasat itu, polis bertindak menahan bapa mangsa yang merupakan seorang posmen berusia 30-an di Masjid Tanah, Alor Gajah pada pukul 4 petang kelmarin (Ahad lalu) bagi membantu siasatan.

"Pada hari kejadian, bapa mangsa telah menghubungi talian kecemasan dan mangsa dihantar ke hospital menaiki ambulans dari rumahnya. Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan polis percaya mangsa telah mati ketika di rumah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini hari ini.

Ujar Raja Shahrom, bapa mangsa ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang jiran yang enggan dikenali memberitahu, pasangan suami isteri yang mempunyai sepasang kembar itu telah menetap di kawasan tersebut sejak dua tahun lalu.

Katanya, dia hanya menyedari kejadian itu selepas melihat mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa masuk ke dalam ambulans oleh bapanya pada hari kejadian.

Utusan 9 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment