April 17, 2014

Pendam rasa


MUHAMMAD Kamal (kiri) dan Denese memerlukan bantuan kaki palsu ketika hadir di Balai Berita, semalam.

Kuala Lumpur: Biarpun minat mendalam terhadap sukan bola sepak, dua kanak-kanak terpaksa melupakan hobi yang paling diminati berikutan keadaan fizikal tidak mengizinkan.

Ini kerana, Muhammad Kamal Ismail, 12, dari Rantau, Negeri Sembilan kudung kaki kiri manakala K Denese, 9, dari Taiping, Perak pula kudung kaki kanan selepas masing-masing terbabit dalam kemalangan berasingan.


Bagi merealisasikan impian mereka, kedua-dua kanak-kanak itu merayu sumbangan orang ramai bagi menanggung kos keseluruhan RM13,600 untuk mendapatkan kaki palsu.

Muhammad Kamal berkata, dia terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan menunggang motosikal bersendirian ke rumah neneknya di Rantau, November tahun lalu.

Dalam kemalangan itu, motosikal ditunggangi Muhammad Kamal dirempuh sebuah kereta sebelum dia tercampak dan tidak sedarkan diri.

“Kejadian itu menyebabkan kaki kirinya hancur selepas termasuk ke dalam tayar dan terpaksa dipotong hingga ke paras lutut,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi askar.

Katanya, sejak itu, dia terpaksa memendam saja perasaannya sebaik melihat rakan sebaya yang lain bermain bola sepak.

“Saya sudah tidak mampu untuk bermain bola sepak, malah cita-cita untuk menjadi askar juga tidak menjadi realiti berikutan sudah kudung sebelah kaki.

“Bagaimanapun, saya berharap dapat menggunakan kaki palsu bagi meneruskan hidup semula,” katanya.


Pengalaman hampir serupa turut dikongsi Denese yang hilang kaki kanan selepas dilanggar sebuah kereta di depan rumahnya pada 2009.

“Ketika kejadian, saya keluar dari rumah tanpa menoleh ke kiri dan kanan sebelum sebuah kereta merempuh saya.

Akibatnya, kaki kanan terpaksa dipotong hingga ke paras paha,” katanya.

Menurut Denese, kejadian lima tahun lalu itu sukar dipadam daripada ingatan kerana dirinya sudah tidak normal seperti kanak-kanak lain.

“Sebelum kejadian, saya aktif bermain bola sepak dan taekwando, namun kini melupakan hasrat itu selepas doktor memberitahu kaki terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman,” katanya.

Sumbangan kepada kedua-dua individu itu boleh dibuat atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dan dialamatkan kepada Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur dengan nama penerima ditulis di belakang cek.

myMetro 17 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment