April 19, 2014

Pemuda, remaja perempuan maut kemalangan

BENTONG - Seorang pemuda maut apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja di Kilometer 20, Jalan Mempaga-Karak kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa, Muhammad Amir Al Furairah Mohamad Rashidi, 21, yang berasal dari Kampung Masjid Laut, Lenggong Perak maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang menunggang seorang diri dipercayai dalam perjalanan dari arah Karak menuju ke Mempaga.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Waja yang berusia 30 tahun dan berasal dari Miri, Sarawak itu tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sementara itu di RAUB, seorang remaja perempuan berusia 20 tahun yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah basikal ketika menunggang motosikal di Kilometer 351, Jalan Raub-Kuala Lipis Isnin lalu disahkan meninggal dunia kelmarin.

Mangsa, Nur Amirah Yahya, meninggal di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HosHoas), Temerloh ketika menerima rawatan di sana kerana mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak hospital mangsa meninggal dunia sekitar jam 7.15 pagi kelmarin.

“Ketika dalam perjalanan, motosikal yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah basikal yang datang dari arah bertentangan.

“Basikal terbabit ditunggang melawan arus dan dipercayai kemalangan tersebut berlaku di bahu jalan sebelah kanan jika dari arah Raub iaitu berdekatan sebuah kilang papan,” katanya.

Tambahnya, disebabkan pertembungan terbabit, kedua-dua mangsa terjatuh dan cedera.

Sinar Harian 17 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment