April 19, 2014

MERS-CoV: 64 penduduk Kg Bintang Laut ada simptom

JOHOR BAHRU - Seramai 64 penduduk Kampung Bintang Laut di Batu Pahat menunjukkan tanda-tanda awal 'Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus' (MERS-CoV) dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa selama seminggu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka antara 100 penduduk yang menjalani pemeriksaan di pusat pemeriksaan khas yang dibuka di Kompleks Penghulu Mukim Peserai sejak Isnin lepas.

"Apabila dibuat pemeriksaan, kita dapati mereka mempunyai tanda-tanda seperti batuk, demam dan selesema yang ada kaitan dengan penyakit MERS-CoV ni, jadi kita nasihatkan mereka duduk di rumah.

"Dalam masa tujuh hari ini, sekiranya kita dapati tanda-tanda ini berlarutan kita akan masukkan mereka untuk pemeriksaan lanjut ke Hospital Sultanah Nora Ismail dekat sini," katanya yang dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau yang sebelum itu mengadakan lawatan ke kampung berkenaan, berkata pusat itu dibuka selepas seorang penduduknya yang meninggal dunia pada 13 April lalu disahkan akibat MERS-CoV, iaitu kes pertama dilapor di rantau ini.

Lelaki berusia 54 tahun itu mengadu demam, batuk dan kesukaran bernafas setelah 10 hari pulang dari tanah suci pada 29 Mac.

Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail pada 10 April dan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Menurut Ayub, sejak 13 April lepas juga lima penduduk dimasukkan ke hospital namun empat disahkan negatif MERS-CoV sementara sampel seorang lagi sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk analisis lanjut.

"Jika didapati positif kita akan mengawal aliran keluar masuk Kampung Bintang Laut bagi mengekang penularan," katanya menambah keputusan dijangka diketahui seawal-awalnya esok.

Beliau turut menasihati baki 1,000 penduduk kampung itu menjalani pemeriksaan di pusat itu yang dibuka dari 8 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Ayub juga meminta ejen-ejen umrah agar mengingatkan jemaah sama ada yang bakal menunaikan ibadah umrah atau baru pulang, supaya membuat pemeriksaan dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pejabat kesihatan berhampiran. - Bernama

17 Apr 2014


Penduduk Kampung Bintang bebas MERS-Cov

SKUDAI – Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Bintang di Batu Pahat yang sebelum ini dikuarantin kerana dikhuatiri terkena jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-Cov) disahkan bebas wabak itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, bagaimanapun terdapat lapan penduduk kampung tersebut masih dipantau berikutan masih mengalami simptom jangkitan penyakit itu.

Menurutnya, kesemua yang masih dipantau terdiri daripada saudara-mara individu yang disahkan meninggal dunia akibat virus berkenaan minggu lalu dan diletakkan pemantauan di rumah masing-masing.

“Kita juga telah menutup pusat pemeriksaan khas jangkitan MERS-Cov di kampung tersebut dan jangkitan penyakit ini sudah terkawal dan keputusannya negatif. Penduduk Kampung Bintang juga kini bebas daripada jangkitan penyakit itu.

“Tetapi masih ada lapan penduduk Kampung Bintang yang kita dapati terdapat tanda-tanda jangkitan penyakit itu seperti batuk, demam, selesema serta sakit tekak dan masih dipantau di rumah mereka,” katanya  selepas melancarkan Program Sambutan Hari Bumi dan Pelancaran Rakan Alam Sekitar Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negeri Johor 2014 di Foyer Bangunan Canseleri Universiti Teknologi Malaysia (UTM), semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Mokhtar Abdul Majid.

Sinar Harian 25 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment