April 20, 2014

Pegawai TUDM ditahan di Texas

SHAH ALAM – Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat mejar ditahan di San Angelo, Texas, Amerika Syarikat kerana disyaki cuba menyeludup senjata api  ke Kuala Lumpur.

Memetik sebuah portal berita antarabangsa, bigcountryhomepage.com, pegawai TUDM terbabit ditahan sebelum menaiki penerbangan pulang ke Malaysia, kelmarin.

Menurut portal sama, penahanan dibuat selepas imbasan ke atas beg dan kotak milik pegawai itu mendapati ada objek meragukan.

“Apabila kotak dibuka, pihak berkuasa San Angelo menemui sepucuk pistol kaliber PT- 22, .22 bersama kelopak berisi lapan butir peluru jenis .22 caliber.

“Ketika ditemui, senjata itu dilekatkan di antara pembuka botol dan pembuka tin sebelum dibalut dengan pita pelekat,” kata laporan di portal itu.

Menurut laporan di portal itu lagi, pegawai TUDM yang sudah menaiki pesawat kemudiannya diiring keluar oleh pihak polis untuk siasatan berhubung penemuan senjata tersebut.

“Bagaimanapun, pegawai terbabit memaklumkan dia menyembunyikan senjata itu bagi mengelak dikesan sebaik tiba di Malaysia,” jelas portal itu.

Difahamkan, hasil siasatan mendapati pegawai TUDM itu memasuki Amerika Syarikat secara sah sejak 5 Januari lalu untuk menjalani latihan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Gooffellow, San Angelo.

“Pegawai itu hanya berada di pangkalan terbabit sepanjang tempoh tersebut,” kata portal berkenaan.

Menurut portal itu, pegawai TUDM itu dipercayai membeli senjata api terbabit ketika menghadiri pertunjukan senjata di Sweetwater.

Katanya, dua vendor pertama enggan menjual senjata api kepadanya berikutan dia bukan warganegara, namun vendor ketiga yang ditemui dalam pertunjukan itu bersetuju menjual senjata api itu pada harga AS$200 (RM648).

Portal sama melaporkan, pegawai TUDM berkenaan tidak sepatutnya memiliki dan menyembunyikan senjata api dalam beg untuk diseludup masuk ke Malaysia.

Menurut portal itu lagi, pegawai TUDM itu kini ditahan di Lubbock, Texas untuk pendakwaan.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud ketika dihubungi Sinar Harian semalam, enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.

Sinar Harian 20 Apr 2014


'Dia sah pegawai TUDM'

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang pegawainya ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat pada 16 April lepas kerana didakwa cuba membawa keluar senjata api jenis pistol PT-22 Taurus.
 
Menurut kenyataan TUDM hari ini, pegawai itu ditahan ketika dijadual akan berlepas dari Lapangan Terbang San Angelo, Amerika Syarikat ke tanah air setelah menamatkan kursus di GoodFellow Air Force Base yang dihadiri sejak 5 Januari lepas.

"Beliau kini di bawah tahanan pihak polis Texas dan dijangka dibicarakan di mahkamah pada 21 April ini.
 
"Pihak TUDM sedang mengikuti perkembangan kes ini dengan terperinci bagi tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu. - Bernama

20 Apr 2014


Pegawai TUDM dibicara di Texas

Kuala Lumpur: Mejar Mohd Faiz Abdul Jalil yang ditahan di Lapangan Terbang San Angelo, Texas, Amerika Syarikat, pada 16 April lalu dipindahkan ke Penjara Daerah Lubbock pada Isnin lalu.

Sebelum ini pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit ditempatkan di Penjara Daerah Taylor atas cubaan membawa keluar pistol model PT-22 Taurus.

Berdasarkan kenyataan rasmi dikeluarkan TUDM semalam, perbicaraan sebelum ini yang dijadualkan pada Isnin lalu ditunda ke tarikh baru yang akan ditetapkan kemudian oleh pihak Mahkamah Lubbock, Texas.

Pada peringkat awal, Mejar Mohd Faiz dicadangkan untuk dikenakan empat pertuduhan oleh pihak pendakwa namun kini beliau hanya akan dituduh atas satu kesalahan sahaja iaitu cuba menyeludup senjata.

Pada masa sama, TUDM turut menumpukan perhatian dalam menjaga kebajikan keluarga pegawai berkenaan terutama dalam menghadapi situasi sukar ini.

Sementara itu, Pejabat Atase Pertahanan Malaysia di Washington kini sedang memantau dengan rapi perkembangan kes ini dan akan memaklumkan setiap perkembangan kes kepada Kementerian Pertahanan bagi tindakan selanjutnya.

Metro Ahad sebelum ini melaporkan seorang pegawai TUDM berpangkat mejar ditahan pihak berkuasa AS kerana disyaki cuba menyeludup senjata api ke negara ini.

Pegawai terbabit bakal berdepan hukuman penjara 10 tahun jika didapati bersalah.

myMetro 23 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment