April 19, 2014

Letupan lerai siling

SILING dewan pameran PWTC runtuh akibat gegaran kuat.

Kuala Lumpur: Seorang anggota tentera cedera parah di kepala manakala dua lagi cedera ringan selepas dihempap siling susulan letupan pada pertunjukan demonstrasi di kawasan lapang berhampiran sungai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada jam 4.30 petang semalam.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pihak tentera yang melakukan demonstrasi menggunakan bahan letupan menyebabkan gegaran kuat pada bangunan PWTC bersebelahan.

Akibatnya siling pada tingkat satu PWTC runtuh dan menimpa tiga mangsa yang yang berada di dalam bangunan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Sri Hartamas dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan.

Katanya, seorang mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau HKL manakala seorang lagi sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

“Diharapkan selepas ini, pihak yang mahu membuat pertunjukan terlebih dahulu mendapatkan pandangan pihak bomba supaya penonton dan orang awam berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mengesahkan kawasan lain di bangunan itu selamat digunakan.

Terdahulu dalam pertunjukan berkenaan, pasukan tentera melakonkan satu senario di mana mereka menumpaskan sekumpulan penjahat di dalam sebuah rumah.

myMetro 18 Apr 2014


0 comments:

Post a Comment