April 19, 2014

Ambil laporan bertukar pilu


Alor Gajah: Seorang anggota polis berpangkat koperal tidak menyangka laporan kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Jalan Gangsa-Terminal Kenderaan Berat, Durian Tunggal, kelmarin turut meragut nyawa anaknya sendiri.

Dalam kejadian pada jam 9.10 malam itu, mangsa Muhammad Badrul Amin Isa, 17, yang juga anak bongsu kepada Koperal Isa Aminon, 52, maut selepas Honda EX5 ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler.

Malah sebuah PROTON Wira dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun yang berada di lorong kiri tidak jauh di belakang mangsa juga gagal mengelak kemalangan terbabit sebelum melanggar motosikal berkenaan.

Menurut sumber, Isa yang bertugas di Balai Polis Durian Tunggal hanya mengetahui mengenai kejadian itu ketika mengambil keterangan dua lelaki berusia 51 dan 52 tahun berhubung kemalangan berkenaan.

“Ketika merekodkan keterangan pengadu, anggota berkenaan terkejut apabila mendapati penunggang yang parah itu adalah anaknya sendiri.

“Walaupun sebak, anggota itu tetap menyelesaikan tugas mengambil keterangan berkenaan sebelum bergegas ke Hospital Melaka, namun ketika tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma dimaklumkan anaknya itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

myMetro 18 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment