April 19, 2014

Lelaki terlantar di hospital gara-gara kicauan burung

KUCHING: Rimas dengan bunyi kicauan burung menyebabkan seorang lelaki kini terlantar di Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat patah tulang bahu dan dikhuatiri mengalami keretakan tulang rusuk.

Insiden dilaporkan menimpa seorang lelaki berusia 45 tahun yang terjatuh dari tingkat dua rumahnya di Jalan Bintawa ketika cuba menutup lubang pada bumbung rumahnya bagi menghalang kehadiran burung untuk bersarang.

Menurut sumber, mangsa nekad berbuat demikian kerana rimas dengan kicauan burung yang bersarang di loteng rumahnya itu sejak beberapa hari lalu, selain turut mengganggu ketenteraman penduduk di sekitar kawasan tersebut.

“Ekoran itu, mangsa tengah hari semalam (kelmarin) telah memanjat bumbung rumahnya itu untuk menutup lubang berkenaan yang dipercayai laluan burung-burung tersebut masuk ke dalam loteng rumahnya untuk bersarang.

“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mangsa apabila dia terjatuh menyebabkan tulang bahu kirinya patah dan juga dikhuatiri retak tulang rusuk,” kata sumber.

Mujur semasa kejadian, ibu mangsa turut berada di rumah dan dia kemudian telah menghubungi pihak ambulans untuk bantuan.

Mangsa telah dikejarkan ke HUS selepas itu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Utusan Borneo 19 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment