April 19, 2014

‘Kalau boleh biar saya tanggung’

MUHAMMAD Saqir bersama Azmah dirumahnya di Kampung Batu Tiga, semalam.

Kuantan: “Sudah kering air mata saya mengenangkan penderitaan ditanggung anak. Jika boleh bertukar tempat dengannya, saya sanggup,” kata Azmah Ariffin, 33, ibu Muhammad Saqir Aminuddin Mohd Lazim Sakila, 2, yang menderita penyakit misteri apabila perutnya membesar sehingga sebesar buah tembikai sejak awal tahun ini.

Menurutnya, dia masih tidak mengetahui dengan jelas penyakit misteri dialami Muhammad Saqir walaupun pernah membawa anak keempatnya itu membuat pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, sebelum ini.

Katanya, pada peringkat awal ada benjolan kecil di bawah perut anaknya dan mereka membawanya ke Klinik Pesakit Luar di Jalan Bukit Sekilau, di sini, namun doktor memberitahu ia ketulan najis tersumbat.

“Anak saya diberikan antibiotik, namun keadaannya tidak berubah, sebaliknya perutnya terus membengkak dan kami membawanya ke HTAA untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor meminta anak saya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kimoterapi tanpa memaklumkan dengan jelas penyakit sebenar anak saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Tiga, Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini, semalam.

Azmah mendakwa, akibat ragu-ragu berhubung punca sebenar penyakit anaknya itu, dia dan suami Mohd Lazim Sakila Mohd Nor, 34, memutuskan untuk tidak mengikut nasihat doktor di HTAA.

“Kami tidak berani menanggung risiko melakukan rawatan seperti disyorkan sebaliknya membawa Muhammad Saqir menemui pakar kanak-kanak dalam masa terdekat selain mendapatkan rawatan tradisional,” katanya.

myMetro 18 Apr 2014


Budak derita penyakit misteri

Chon Siang (kanan) turut bersimpati melihat keadaan Muhammad Shaqir yang dipangku Azmah.

Gambar Muhammad Shaqir sebelum diserang penyakit misteri.

KUANTAN – Luluh hati seorang ibu, Azmah Ariffin, 33 melihat keadaan anak bongsunya, Muhammad Shaqir Aminuddin Mohd Lazim Sakila, 2, yang dilahirkan normal dan sihat tetapi tiba-tiba diserang penyakit misteri menyebabkan perutnya membusut.

Kanak-kanak malang berkenaan mula menanggung derita sejak empat bulan apabila muncul ketulan sebesar bola ping pong di bawah pusat yang kemudiannya semakin membesar.

Azmah berkata, dia sudah membawa anak bongsu dari empat beradik berkenaan berjumpa doktor tetapi sehingga sekarang penyakitnya tidak dapat dikenal pasti.

Menurutnya, pelbagai ikhtiar sudah dilakukan termasuk mencuba rawatan tradisional tetapi tidak berhasil.

“Ketulan sebesar bola ping pong keluar di bahagian bawah pusatnya sejak Disember 2013 dan saya sudah membawanya bertemu doktor tetapi tiada penjelasan spesifik mengenai penyakitnya itu.

“Pada awalnya saya ke Klinik kesihatan dan di rujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) serta difahamkan anak saya menghidap ketumbuhan tetapi doktor tidak dapat mengesahkan di mana ia tumbuh.

“Saya dinasihatkan membawa anak ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani kemoterapi tetapi saya tidak mahu memandangkan rawatan itu khusus bagi penyakit kanser.

“Kerana tidak tahu apa penyakit sebenarnya, saya tidak membawanya membuat kemoterapi dan berusaha cara tradisional tetapi tetap tidak berhasil.

“Anak saya tidak pula merengek kesakitan dan apabila ditekan di bahagian perut dia juga tidak menunjukkan tindak balas seperti sakit.

“Dalam tempoh empat bulan perutnya semakin membesar dan sebagai ibu kesedihannya tidak dapat diluah dengan kata serta sudah kering air mata,” katanya kepada Sinar Harian ketika kunjungan Adun Teruntum, Sim Chon Siang di rumah keluarga berkenaan di Tanah Putih Lama, di sini, semalam.

Katanya, besar harapan untuk melihat anaknya sembuh seperti sediakala dan dia dan suami, Mohd Lazim Sakila Mohd Nor, 34 akan berusaha setakat termampu.

“Dia seorang anak yang riang dan aktif tetapi sekarang semuanya sudah berubah tetapi walaupun sakit dia tidak menyusahkan.

“Kerana penyakit ini anak saya tidak boleh berjalan dan bercakap  serta saya perlu memberi lebih perhatian kepadanya.

“Suami saya bekerja sebagai buruh tetap keluar mencari rezeki seperti biasa bagi menampung keperluan harian,” katanya.

Sementara itu, Chon Siang melahirkan simpati terhadap kanak-kanak kurang bernasib baik berkenaan dan akan berusaha menghulurkan bantuan bagi memudahkan sesi rawatan dijalankan.

“Sebagai langkah awal, saya akan bertemu dengan Pengarah Kesihatan untuk membincangkan hal dan penyakit kanak-kanak ini.

“Bagi yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini, boleh salurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 156093948094 di atas nama Azmah Ariffin atau menghubunginya di talian 011-19812116,” katanya.

Sinar Harian 21 Apr 2014


Muhammad Shaqir dirawat di ICU

Norul Azali (dua kanan) melihat keadaan Muhammad Shaqir yang kini dirawat di ICU HTAA ditemani ibunya, Azmah Ariffin,33.

KUANTAN – Kanak-kanak malang yang didakwa  menghidap penyakit misteri, Muhammad Shaqir Aminuddin Mohd Lazim Sakila, 2, dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Intan (HTAA), berikutan keadaannya semakin tidak stabil, awal pagi semalam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas, Datuk Norul Azali Sulaiman berkata, anak bongsu daripada empat beradik berkenaan sebenarnya sudah disahkan menghidap kanser dan sepatutnya sudah menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak dua bulan lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, perasaan bimbang dan ragu-ragu ibu bapa kanak-kanak berkenaan menyebabkan mereka memilih untuk menangguhkan rawatan di hospital dan mencuba perubatan alternatif.

“Ibu bapa kanak-kanak ini sudah membawa anaknya ke hospital pada 5 Februari 2014 dan menjalani pemeriksaan serta diagnosis menghidap kanser.

“Temujanji dengan HKL sudah diatur pada 10 Februari tetapi sehari sebelum berangkat ke sana, ibu bapa meminta kebenaran untuk pulang ke rumah untuk membuat persiapan tetapi tidak datang semula ke hospital.

“Pihak hospital pernah mengunjungi rumah keluarga berkenaan di Tanah Putih Lama tetapi mereka difahamkan tiada di rumah kerana membawa Muhammad Shaqir menjalani rawatan tradisional di luar kawasan.

“Semalam, pihak hospital mengunjungi rumah keluarga berkenaan dan mendapati kanak-kanak berkenaan berada dalam keadaan lemah serta tidak stabil.

“Dia kemudiannya terus dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) HTAA untuk rawatan lanjut,” katanya kepada media ketika melawat kanak-kanak berkenaan di HTAA, di sini, semalam.

Beliau berkata, memandangkan rawatan yang sepatutnya dijalankan sudah tertangguh pemeriksaan lanjut akan dilakukan semula ke atas kanak-kanak berkenaan.

“Buat masa sekarang keadaan Muhammad Shaqir masih tidak stabil dan rawatan lanjut akan diteruskan.

“Jika keadaan sudah stabil HTAA akan membuat temujanji semula dengan pihak HKL untuk membawanya jalani rawatan sewajarnya," katanya.

Sinar Harian 22 Apr 2014


Derita si kecil berakhir

Keadaan Muhammad Syaqir ketika menerima rawatan.

KUANTAN - Setelah lima hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Afzan, kanak –kanak malang yang menderita akibat ketumbuhan, Muhammad Shaqir Aminuddin Mohd Lazim Sakila, 2 menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.15 malam, semalam.

Anak bongsu daripada empat beradik berkenaan sebelum ini dikatakan menghidap penyakit misteri apabila perutnya mulai membesar dan membusut sejak empat bulan lalu.

Ibunya, Azmah Ariffin, 33 berkata, dia redha dengan pemergian anaknya dan mengangap itu mungkin yang terbaik direncanakan ALLAH SWT untuk mereka sekeluarga.

Menceritakan detik terakhir anaknya, Azmah berkata luluh hatinya melihat keadaan Muhammad Shaqir yang lemah sedangkan beberapa jam sebelum itu keadaannya masih baik.

“Sebelum itu keadaannya baik sahaja tetapi tiba-tiba sahaja dia sesak nafas dan semakin lemah sehinggalah menghembuskan nafas terakhir.

“Kalau ikutkan, keesokan harinya saya akan bawanya pulang ke rumah memandangkan rawatan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak dapat diteruskan kerana kuman sudah merebak ke seluruh badan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Tanah Putih Lama, di sini, semalam.

Katanya, sepanjang tempoh menjaga anaknya yang sakit tidak sedikit dia terasa terbeban dan menganggap sebagai ujian.

“Walaupun sakit, dia tidak banyak kerenah dan boleh makan minum seperti biasa tetapi kalau di hospital saya sedikit sedih memandangkan banyak perkara yang tidak dapat dilakukannya demi menjaga kesihatan.

“Masih terbayang-bayang dia sempat bermain dengan patung Spiderman yang dibawa ke Hospital namun saya yakin syurga adalah tempatnya di sana.

“Dua abang dan kakaknya antara yang paling sedih, malah mereka hanya berkurung di dalam bilik kerana masih terkejut,” katanya.

Jenazah Muhammad Shaqir selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi.

Sinar Harian 27 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment