April 17, 2014

Kakitangan SPP maut motosikal rempuh van buat pusingan U


Putrajaya: Seorang kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah van penyedia perkhidmatan pembersihan yang tiba-tiba membuat pusingan U di Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Razie Jantan, 31, maut serta-merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

Kejadian berlaku apabila motosikal Kawasaki Kips 250 ditunggang mangsa merempuh bahagian belakang van berkenaan yang tiba-tiba membuat pusingan U di tempat tidak sepatutnya berhampiran susur masuk ke sebuah hotel berdekatan.

Rakan mangsa, Mazral Abdul Manaf, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum gagal mengelak van berkenaan ketika berada di lorong kanan.

 “Arwah yang gagal mengelak van itu meninggal dunia di tempat kejadian dan motosikal yang ditunggangnya rosak teruk,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang baru bekerja kira-kira setahun di SPP selain mempunyai seorang isteri dan anak.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

myMetro 17 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment