April 16, 2014

Polis cedera MPV terbalik

Kenderaan MPV terbabas dan terbalik akibat terlanggar pembahagi jalan di Taman Ciptaco semasa mengejar kereta Proton Wira berwarna hijau yang kelihatan mencurigakan pada kejadian kira-kira jam 1 pagi, semalam.

BANDARAYA MELAKA - Dua anggota polis cedera selepas kereta MPV dinaiki mereka terbalik semasa mengejar sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, kereta dinaiki tiga lelaki itu kelihatan mencurigakan apabila tiada nombor plat kenderaan dipercayai datang dari arah Tol Ayer Keroh.

Katanya, semasa kejadian MPV dinaiki anggota berpangkat koperal dan lans koperal itu sedang dalam rondaan cegah jenayah.

“Kereta itu datang dari arah tol menghala ke pusat bandar dan anggota kami melihat mereka dalam keadaan mencurigakan.

“Mereka diarah berhenti tetapi sebaliknya kereta memecut laju dan apabila dikejar, MPV dihimpit menyebabkan terbabas lalu terbalik,” katanya semasa ditemui di pejabatnya, semalam.

Adegan mengejar kenderaan terbabit bermula dari persimpangan lampu isyarat di Taman Muzafar High sehingga ke persimpangan Taman Ciptaco berdekatan Melaka Mall sebelum MPV terbabas melanggar pembahagi jalan dan terbalik.

Bagaimanapun, suspek berjaya meloloskan diri selepas membelok ke persimpangan taman itu.

Katanya, dua anggota terbabit cedera di kepala dan tangan, namun sudah mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Melaka.

Salehhudin berkata, beliau memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian dan mengetahui maklumat insiden itu segera melaporkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Sinar Harian 12 Apr 2014

0 comments:

Post a Comment