April 21, 2014

8 jam lawan api




Sepasukan 45 anggota bomba dari 11 balai bomba dan penyelamat dipaksa bekerja keras hampir lapan jam bagi memadam kebakaran stor penyimpanan dan pembungkusan milik sebuah kilang memproses sarung tangan getah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi di Jalan 3, Kawasan Perusahaan Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini, stor berkeluasan 3,700 meter persegi yang musnah itu menempatkan produk siap sarung tangan getah termasuk tiga kontena.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, keluasan kawasan kebakaran menyebabkan pihaknya terpaksa menggunakan khidmat empat lori tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah; Bangi; Pandan dan Seremban Dua bagi menampung keperluan bekalan air bagi operasi memadam.

Beliau berkata, lima jentera turut dikejarkan ke lokasi kejadian masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang; Banting; Bangi, Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Operasi memadam yang bermula jam 10 pagi berjaya dikawal sepenuhnya sejam kemudian, namun terpaksa mewujudkan lima stesen operasi di sekitar lokasi bagi menghalang api merebak ke bangunan bersebelahan,” katanya pada sidang media di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, operasi memadam mulanya berdepan kesukaran berikutan bekalan air tidak mencukupi hingga perlu mendapatkan bantuan lori tangki, namun operasi berjalan lancar selepas mendapat kerjasama Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.07 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dan mendapati hampir 80 peratus stor berkenaan dijilat api.

Menurutnya, pihaknya tidak berdepan sebarang kesukaran, namun perlu berhati-hati kerana kebakaran turut membabitkan beberapa letupan kecil berpunca daripada tayar kenderaan termasuk jentera pengangkut yang berada dalam stor berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan 20 pekerja warga asing yang sedang bekerja berjaya keluar dan menyelamatkan diri.

“Kami masih menyiasat punca kejadian, tetapi tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada aktiviti selenggara bangunan.

Kami masih menyiasat anggaran kerugian,” katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap kilang berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihaknya tidak dapat menganggarkan jumlah kerugian kerana masih terkejut dengan kejadian itu.

myMetro 21 Apr 2014


0 comments:

Post a Comment