March 22, 2014

Warkah terakhir untuk bapa

Abdul Qayyum

POKOK SENA - “Abah, saya minta maaf segala dosa yang pernah saya lakukan dan terima kasihlah kerana menjaga saya dari kecil hingga besar. Halalkanlah segala makan minum selama ini dan terima kasih kerana memberi pendidikan agama kepada saya,” demikian surat terakhir dari Abdul Qayyum Ibrahim, 23, kepada bapanya sebelum meninggal dunia selepas kemalangan di lampu isyarat simpang empat Kedondong, Pokok Sena, kelmarin.

Bapanya, Ibrahim Abd Latib, 52, berkata, surat itu diterimanya pada dua minggu lalu itu disertakan dengan hadiah telefon bimbit dan wang kepadanya.

Sejak Abdul Qayyum mendapat wang pampasan sebanyak RM35,000 selepas mengalami kemalangan dua tahun lepas, anaknya banyak bersedekah kepada rakan dan saudaranya.

Katanya, sejak sebulan lalu sikapnya banyak berubah dan sering mengajak adiknya melawat saudara terdekat sambil menyampaikan sedekah serta meminta maaf.

“Saya tidak sangka perubahan hidupnya itu tanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Bagaimanapun, kami sekeluarga tetap reda dengan pemergiannya itu dan tetap akan merinduinya,” kata Ibrahim.

Ibu mangsa, Suraya Kassim Abdul Yusuf, 48, berkata, Abdul Qayyum yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu hanya memaklumkan kepadanya untuk keluar mengambil seorang rakan yang baru tiba dari Kuala Lumpur di pekan Langgar, Alor Setar.

“Sebelum kejadian, anak saya berada seharian di bengkel bapa rakannya di Bukit Tampoi untuk membaiki sebuah lagi motosikal miliknya yang rosak dan pulang ke rumah untuk menunaikan solat Asar sebelum keluar semula pada jam 5 petang untuk mengambil rakannya itu,” kata ibunya itu.

Menurutnya, dia dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh beberapa rakan anaknya yang datang selepas kejadian itu.

Jenazah telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Masjid Jamek Kampung  Pulau Kijang, Kuala Nerang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku apabila mangsa dalam perjalanan dari Alor Setar menghala ke Pokok Sena bertembung dengan sebuah van yang mahu membelok ke kanan menghala ke Derang dari arah Pokok Sena.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bagaimanapun kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sinar Harian 22 Mac 2014

1 comment:

  1. setiap yg terjadi ada hikmahnya... kuat kan semangat tabahkan hati... semoga keluarga en ibrahim sejahtera selalu... kepada Nadia... anak kedua dari 7 beradik.. jadilah kakak dan abang yg baik buat adik adik.. sy selalu mendoakan awak dan keluarga awak... awak seorang kawan yg baik.. semoga abg awak ditempatkan orang orang yg soleh... kita yg hidup mesti teruskan perjuangan...

    by : Mohamad Norhisham Bin Mansor [rakan kepada Nurul Nadia Bt Ibrahim]

    Fulloflove :)

    ReplyDelete