March 22, 2014

24 jam guna mesin pernafasan

Kasih sayang Norashikin terhadap Nurzahirah semakin bertambah sejak anaknya mengalami jangkitan kuman pada paru-paru ketika usianya 10 bulan.

MUAR - Luluh hati ibu melihat penderitaan anak yang terpaksa bergantung dengan mesin oksigen concentrator dan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) hampir 24 jam sehari bagi meneruskan hidupnya.

Nurzahirah Zulkefli berusia 2 tahun enam bulan dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain, namun disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru yang menjejaskan pernafasan ketika berusia 10 bulan.

Norashikin Husain,34, berkata, kesihatan anaknya mula terjejas apabila kerap demam ketika usia lapan bulan sehingga berlarutan usianya 10 bulan. Keadaan Nurzahirah terlalu teruk memaksanya dimasukkan ke wad selama sebulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Menurutnya, Nurzahirah kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mendapatkan rawatan di hospital berkenaan lima bulan selain dapat mengesan penyakit yang dihidapnya.

“Di HKL, dua kali Nurzahirah dimasukkan ke wad kecemasan akibat komplikasi.

“Apabila keadaannya bertambah baik, dia dibawa pulang dan dimasukkan semula ke HPSF selama dua bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bintang, Parit Jawa, semalam.

Suri rumah itu berkata, anaknya baru sahaja keluar dari HPSF 16 Mac lalu selepas 10 hari dimasukkan dalam wad hospital berkenaan akibat demam dan batuk.

Katanya, dugaan buatnya bukan hanya masalah kesihatan Nurzahirah, tetapi juga perbelanjaan keperluan anaknya itu  yang agak tinggi terutama susu formula khas yang mencecah RM500 sebulan.

“Nurzahirah hanya sesuai minum susu Nutrien Junior kerana dapat mengurangkan kahak pada paru-paru. Selain mahal, ia hanya dijual di farmasi tertentu di bandar Muar.

“Dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori, ia sememangnya terbeban. Ini belum lagi bayaran rumah RM650, lampin pakai buang dan elektrik yang mencecah RM400 sebulan kerana menggunakan penghawa dingin memandangkanNurzahirah tidak boleh berada dalam keadaan suhu panas,” katanya.

“Air mata saya sudah kering untuk menangisi penderitaan Nurzahirah,” katanya.

Orang ramai ingin hulur sumbangan, boleh hubungi Norashikin 012-7537551 dan sumbangan ke Akaun BSN 0115 7290 0002 4946 di bawah nama Zulkefli Ahmad.

Sinar Harian 22 Mac 2014

0 comments:

Post a Comment