March 22, 2014

Warga Myanmar maut bergaduh

Polis mengangkat mayat warga Myanmar yang maut akibat bergaduh dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas dipercayai bergaduh dengan rakannya di kebun getah di Jalan Ara Kuda, Kubang Semang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang berusia 40-an itu ditemui terbaring dengan kesan luka di bahagian muka, leher dan kaki oleh seorang pemikat  burung yang kemudiannya melaporkan kejadian terbabit kepada pemilik kebun getah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis menerima laporan pemilik kebun getah yang berusia 53 tahun kira-kira jam 7 petang.

“Hasil siasatan yang dijalankan, kami menemui dua pisau menoreh getah dan tukul besi yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

“Beberapa botol arak turut ditemui di pondok yang didiami mangsa dan kedua-duanya mungkin minum bersama sebelum kejadian.

“Mangsa dipercayai telah dibunuh kelmarin (Selasa) berdasarkan keadaan mayat yang ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata, suspek yang merupakan rakan senegara mangsa ditahan berhampiran lokasi kejadian dengan kesan luka di tangan.

“Kedua-duanya adalah kenalan lama dan besar kemungkinan kejadian ini bermotifkan dendam lama.

“Suspek yang berusia 40-an dan pemilik kebun getah yang juga merupakan majikan mangsa ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sinar Harian 22 Mac 2014

0 comments:

Post a Comment