March 22, 2014

Remaja ketuk pintu serah anak

Haslinda dan Hidayat bersama Mohd Hasyim Shakir yang diterimanya lima tahun lalu.

SUNGAI PETANI - “Kak, nak anak ni tak?” demikian pertanyaan yang masih jelas kedengaran di telinga Haslinda Hashim, 40, apabila pintu rumahnya diketuk seorang lelaki  kira-kira jam 1.35 pagi.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada 26 Julai 2009 itu masih segar di ingatan walaupun ia berlaku lima tahun lalu.

Haslinda berkata, dalam keadaan samar dan gelap malam, dia melihat seorang lelaki memegang bayi yang baru lahir, keadaannya sudah hampir kebiruan walaupun lendir di kulit dan kesan darah masih melekat pada badan bayi lelaki itu.

“Dalam keadaan terpinga-pinga, saya terus bersetuju dengan tujuan mahu menyelamatkan bayi tersebut dari nasib yang masih belum diketahui sekiranya mengabaikannya,” katanya.

Menurut, dia teringat peristiwa dua hari sebelumnya apabila didatangi sepasang kekasih yang mendakwa suami isteri dengan keadaan wanita berusia 30-an itu sarat mengandung.

“Ketika itu waktu senja mereka datang dan ketuk pintu rumah bertanyakan sama ada mahu memelihara anak dalam kandungan (ketika itu masih belum bersalin) kerana tidak punya wang dan bimbang nasib anak yang tidak pasti sekiranya bersama mereka.

“Selepas memberi persetujuan, kedua-duanya terus pergi. Saya ingat mereka tidak muncul kerana tidak mengenali langsung pasangan itu. Sehinggalah dua hari kemudian, si lelaki datang ke rumah dan ketuk pintu dengan bayi yang baru dilahirkan,” katanya.

Haslinda berkata, dengan perasaan terkejut dan  bercampur-baur, dia menerima bayi tersebut kerana lelaki yang mendakwa bapa kepada bayi itu tidak mahu membesarkannya kerana dakwanya, isterinya telah hilang selepas bersalin.

Katanya, sehingga kini, pasangan itu tidak muncul dan tidak mengetahui perkembangan kedua-duanya.

“Sejak hari itu, saya dan suami, Hidayat Naedin, 44, memelihara Mohd Hasyim Shakir, 5, dengan baik dan menganggap seperti anak kandung, malah kasih sayang kami terhadapnya melebihi segala-galanya.

“Saya akui dia adalah rahmat terbesar dan amanah dari Allah SWT terhadap kami sekeluarga. Dengan penuh kasih sayang kami membesarkannya bagai menatang minyak yang penuh, “ katanya.

Bagaimanapun, Mohd Hasyim yang kini berusia lima tahun berdepan pelbagai masalah termasuk mendaftarkan persekolahan berikutan tiada dokumen pengenalan.

“Maklumat mengenainya juga tidak diketahui, malah kedua-dua ibu dan bapanya sudah menghilangkan diri,” katanya.

Haslinda bagaimanapun bingung kerana mahu mempercepatkan proses mendapatkan sijil kelahiran bagi memudahkan Mohd Hasyim tidak ketinggalan mengikuti persekolahan seperti kanak-kanak lain.

Dia turut meminta mana-mana pihak dapat membantu melancarkan proses berkenaan kerana telah berurusan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tujuan sama.

Sinar Harian 22 Mac 2014

0 comments:

Post a Comment