January 14, 2014

Penuntut Unimas hilang ditemui mati dalam parit


Beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengangkat mayat pelajar wanita Universiti Malaysia Sarawak yang ditemui dalam parit di kawasan kampus universiti berkenaan di Kota Samarahan, Kuching, Sarawak semalam. - Utusan/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA

ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam mengangkat mayat Siti Najwa yang ditemui dalam parit di kampus Universiti Malaysia Sarawak di Kota Samarahan semalam.

KOTA SAMARAHAN 14 Jan. - Tanda tanya mengenai kehilangan seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sejak 11 hari lalu, akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui terapung dalam parit di kawasan universiti berkenaan di sini hari ini.

Mayat, Siti Najwa Atikah Azhar, 19, pelajar semester pertama dari Fakulti Sains Sosial ditemui terapung oleh penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari mangsa pada pukul 6 petang ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Lee Chong Chern berkata, mangsa yang berasal dari Pulau Pinang dilaporkan hilang sejak 4 Januari lalu.

Beliau berkata, laporan kehilangan mangsa bagaimanapun hanya dibuat oleh pihak universiti pada 5 Januari lalu selepas mangsa didapati tidak hadir menduduki peperiksaan.

"Selain pihak universiti, ibu mangsa turut membuat satu laporan polis di Pulau Pinang kelmarin selepas anaknya tidak pulang ke rumah pada cuti semester. Wanita itu datang ke Kuching semalam untuk menyertai operasi mencari mangsa, " katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Chong Chern, semasa ditemui, mayat mangsa dalam keadaan sudah reput tetapi lengkap berpakaian.

Ujar beliau, pihaknya juga belum dapat mengenal pasti sama ada kematian mangsa mempunyai unsur jenayah atau kemalangan sehinggalah laporan bedah siasat diperoleh.

Ketika mangsa dilaporkan hilang berlaku hujan lebat dan paras air dalam parit tersebut adalah tinggi.

Sementara itu, rakan serumah mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Farah ketika dihubungi memberitahu, dia menyedari kehilangan Siti Najwa Atikah apabila rakannya itu tidak pulang ke rumah sejak Sabtu lalu.

Katanya, dia ada bertanya kepada beberapa rakan serumahnya yang lain mengenai mangsa tetapi mereka juga tidak tahu ke mana Siti Najwa Atikah menghilangkan diri.

Tambah Farah, dia mengenali mangsa sejak pertengahan tahun lalu ketika sama-sama mendiami rumah yang mempunyai lima bilik di kolej tersebut.

Utusan 14 Jan 2014


Polis klasifikasi kematian pelajar Unimas sebagai kematian mengejut

KUCHING: Polis setakat ini mengklasifikasi kematian seorang pelajar wanita yang mayatnya ditemui terapung dalam parit di kampus Universiti Malaysia Sarawak di Kota Samarahan di sini petang ini sebagai kematian mengejut.

Ketua Polis Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata sebab kematian itu masih tidak dapat dipastikan oleh kerana mayat itu hampir reput bila ditemui pada jam 6 petang.

Katanya, mayat itu telah dihantar ke Hospital Besar Sarawak di sini untuk bedah siasat. — BERNAMA

15 Jan 2014


‘Doakan anak saya tenang di sana’

Kuching: “Doakanlah semoga anak saya tenang di sana,” kata Norni Jaafar, 40-an, ibu kepada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Siti Najwa Atikah Azhar, 20, yang ditemui mati dalam anak sungai berdekatan sebuah kolej kediaman universiti terbabit di Kota Samarahan, dekat sini, kelmarin.

Norni ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini enggan mengulas lanjut mengenai kematian anaknya itu dan hanya meminta orang ramai yang mengetahui kejadian mendoakan roh anaknya tenang.

Dia yang hadir ke rumah mayat untuk menunggu keputusan bedah siasat jam 9.30 pagi, semalam kelihatan tenang sambil ditemani dua anaknya.

Pekarangan rumah mayat itu turut dipenuhi rakan mangsa dan pengurusan UNIMAS yang memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern ketika dihubungi berkata, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa lemas dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Katanya, pemeriksaan pada badan mangsa ketika bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan, malah tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.

“Ibu mangsa sudah membuat pengecaman dan mengesahkan mayat yang ditemui anak perempuannya yang hilang sejak 4 Januari lalu.

“Polis sudah memperoleh hasil bedah siasat dan kini terpulang kepada UNIMAS untuk menjalankan siasatan dalaman kes kematian pelajar ini,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS Prof Mohd Fadzil Abd Rahman mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

myMetro 16 Jan 2014


Kejutan berita buruk

Bukit Mertajam: “Mengikut perancangan kami mahu membuat kejutan dengan mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran arwah dan ibunya kerana dua beranak itu lahir pada bulan sama, tetapi semua terkejut selepas menerima berita sedih mengenai pemergiannya yang sebelum ini begitu teruja mahu pulang ke kampung sempena cuti semester,” kata Azizan Ishak, 54, bapa tiri kepada pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Siti Najwa Atikah Azhar, 20, yang ditemui meninggal dunia dalam anak sungai berhampiran sebuah kolej kediaman universiti itu di Kota Samarahan, Sarawak, Selasa lalu.

Menceritakan semula perancangan itu, Azizan berkata, mereka begitu teruja untuk membuat kejutan ulang tahun Siti Najwa yang lahir pada 2 Januari 1994 manakala ibunya Che Noorni Jaafar, 54, yang lahir pada 14 Januari 1960.

Bagaimanapun, katanya, penemuan mayat arwah Selasa lalu menjadi kejutan kepada ibunya.

Azizan berkata, selepas mayat anaknya ditemui, Che Noorni cuba menganggap mayat berkenaan bukan anaknya, tetapi terpaksa akur dengan selepas disahkan sebagai Siti Najwa berdasarkan baju kurung dibeli sebagai hadiah kepada arwah.

“Pada malam 2 Januari lalu saya menghubungi arwah untuk mengucapkan selamat ulang tahun dan dalam perbualan itu timbul perancangan mengadakan kejutan ulang tahun bagi ibunya kerana kali terakhir mereka berjumpa di kampung pada September lalu.

“Mengikut perancangan, arwah dijangka pulang Ahad lalu selepas menduduki peperiksaan akhir dan sementara menunggu ketibaannya, saya, kakak serta adiknya membuat persiapan untuk majlis itu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Kuala Mengkuang di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga pada mulanya tidak menyangka tragedi itu menimpa arwah walaupun cubaan berkali-kali menghubungi arwah gagal.

Bagaimanapun, katanya, mereka mula mengesyaki perkara buruk selepas arwah tidak muncul di lapangan terbang pada hari dijanjikan dan semakan dengan pihak universiti dan hospital mendapati mangsa tiada.

myMetro 17 Jan 2014


Kebumi sebelah pusara bapa

Bukit Mertajam: Jenazah pelajar tahun satu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Siti Najwa Atikah Azhar, 20, selamat dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Mengkuang di sini, kira-kira jam 11.45 malam kelmarin.

Terdahulu jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada jam 10.30 malam dituntut bapa tirinya Azizan Ishak, 54, sebelum dibawa ke Masjid Kampung Kuala Mengkuang dan disembahyangkan kira-kira 60 ahli keluarga serta penduduk kampung.

Nenek arwah Rasimah Md Isa, 74, berkata, dia terkejut dengan pemergian cucunya itu yang terkenal lemah lembut serta menghormati orang tua, apatah lagi dia menjaga cucunya itu sejak kecil.

“Saya dan arwah memang rapat, boleh dikatakan sebahagian besar masanya dihabiskan di kampung bersama saya, sikapnya yang pemalu menyebabkannya jarang keluar rumah, sebaliknya lebih gemar menghabiskan masa membaca al-Quran dan buku keagamaan,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Mengkuang, semalam.

myMetro 17 Jan 2014

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt. Ada seorang lelaki Melayu dari asnaf fakir miskin bernama Saudara Adila Bin Suboh. Dia berasal dari Melaka. Dia berumur 44 tahun. Dia tidak mempunyai rumah dan kenderaan sendiri. Dia sentiasa berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Dia tidak mampu menyara keluarganya kerana kesempitan wang. Adakala dia tidak makan dan mandi beberapa hari. Dia mengharapkan belas kasihan dari orang yang prihatin dengan keadaan nasibnya. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank 151089317354 Adila Bin Suboh. Sumbangan anda dapat meringankan beban orang yang memerlukannya. Terima kasih.

    ReplyDelete