January 15, 2014

50 pelajar perempuan SMK Tanjung Puteri histeria

JOHOR BAHRU: Lebih 50 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, di sini, diserang histeria pada kira-kira 7 pagi tadi.

Pengurusan sekolah turut memanggil pakar perubatan Islam untuk membantu memulihkan pelajar berkenaan.

Difahamkan, ia berlaku apabila seorang guru melihat lembaga hitam di sekitar sekolah namun guru wanita berkenaan dapat mengawal diri.

Tidak lama kemudian, pelajar perempuan sekolah itu mula menjerit sehingga jumlahnya melebihi 50.

Pengurusan sekolah kemudiannya membatalkan sesi persekolahan pada hari ini dan membenarkan kira-kira 1,000 pelajarnya pulang.

Ibu bapa juga dibenarkan menjemput pulang anak masing-masing. Semua mangsa berjaya dipulihkan pada 11.30 pagi tadi.

myMetro 15 Jan 2014


50 pelajar dirasuk!

Johor Bahru: “Sebaik tiba di rumah, anak saya enggan masuk. Dia berbaring dekat pintu pagar lebih setengah jam,” kata Mohd Noor Siron Abdul Kadir, 46, bapa seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di sini, yang diserang histeria, semalam.

Anak Mohd Noor, Noryana, 17, antara 50 pelajar perempuan sekolah itu yang diserang histeria kira-kira jam 7 pagi, menyebabkan pengurusan sekolah terpaksa menamatkan sesi persekolahan dan mengarahkan kira-kira 1,000 pelajar pulang bagi mengelak keadaan lebih teruk.

Difahamkan, sebelum kejadian seorang guru wanita melihat satu ‘lembaga hitam’ berhampiran satu blok sekolah.

Selepas guru itu beredar dari situ, dia terkejut apabila ternampak lebih banyak lembaga hitam di kawasan kantin sekolah, namun dia berjaya mengawal diri dan tidak mengalami sebarang masalah.

Bagaimanapun, beberapa pelajar perempuan mula menjerit dan meronta-ronta tidak lama kemudian, bermula dengan 10 orang dipercayai akibat dirasuk makhluk halus.

myMetro 16 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment