January 15, 2014

Seorang Maut, Tiga Cedera Kereta Bertembung Lori Di Bentong


KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan maut manakala dua anaknya termasuk seorang menantu perempuan cedera apabila kereta Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Km12 Jalan Bentong-Gombak, dekat Bentong pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata dalam kejadian 11.45 pagi itu, mangsa Mohd Nor Manap, 66, berasal dari Taman Bentong Makmur, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

"Sementara anak mangsa, Siti Noraini, 15, dan Mohd Syawal, 22, (pemandu)dan isteri Syawal, Noraini Mohd Nordin, 18, mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata, nahas dipercayai berlaku semasa mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Gombak ke Bentong.

Katanya, kereta Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori berkenaan.

Pemandu lori berkenaan, Mohd Tarmizi Md jasin, 28, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan mereka yang cedera turut dirawat di hospital sama. - BERNAMA

15 Jan 2014

0 comments:

Post a Comment