November 3, 2013

Tanah jadi rebutan


Kawasan itu kini telah diusahakan untuk perniagaan.

Bekas sekolah agama satu ketika dulu kini disahkan hak kerajaan negeri.

 Rumah Muhammad Noor yang pernah dijadikan sekolah agama sebelum ini.

RAWANG - Rumit! Kata-kata paling tepat untuk menggambarkan situasi yang dialami dua individu yang masing-masing mengaku mereka berhak ke atas tanah yang juga bekas tapak sekolah agama.

Malah, salah seorang daripada mereka yang mahu menuntut kembali rumahnya di Taman Tun Teja itu terpaksa melupakan hasrat berkenaan selepas mengetahui tanah tersebut milik kerajaan negeri.

Sebelum ini, Muhammad Noor Daud, 75, berharap dapat menggunakan semula rumahnya yang juga bekas sekolah agama itu untuk dibangunkan semula sebagai pusat pembelajaran Bahasa Jawi.

Menurutnya, pada 2001 dia telah menyerahkan rumahnya untuk dijadikan sekolah agama selepas balai raya yang dijadikan pusat pembelajaran lebih tiga tahun semakin uzur dan tidak lagi sesuai untuk diduduki.

“Pada 2010 Jais mengeluarkan peruntukan pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) baru dan mula digunakan pada 2012 menyebabkan rumah saya itu kosong.

"Saya kemudiannya memberi kebenaran kepada seorang individu untuk menumpang di situ.

“Saya membenarkan mereka menggunakan kawasan itu untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan mengaku telah diberikan insentif.

"Tapi pihak tersebut telah mengubahsuai tanpa kebenaran sehingga menimbulkan kerugian kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia telah berjumpa dengan individu berkenaan supaya dapat mengosongkan rumah tersebut namun permintaannya tidak diendahkan.

“Sebanyak dua laporan polis telah dibuat dengan harapan supaya ada campur tangan pihak luar dalam menyelesaikan masalah ini selepas tanah saya di ceroboh dan diubah suai.

“Saya terpaksa bertindak menamatkan bil bekalan elektrik dan air menggunakan akaun saya tetapi disambung semula oleh individu itu,” katanya.

Itu bukan milik Muhammad Noor

Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan di pihak individu yang didakwa mengusahakan tanah itu untuk dijadikan kedai dan pusat kimpalan.

Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad berkata, dia telah mengeluarkan sebanyak RM100,000 untuk memajukan kawasan bekas tapak sekolah agama itu.

Malangnya semakan status tanah di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak baru-baru ini mendapati tanah itu milik kerajaan.

“Saya juga telah membuat laporan polis kerana terasa teraniaya selepas Muhammad Noor mendakwa tanah tersebut miliknya dan lebih RM3,000 telah dibayar kepadanya untuk deposit penggunaan tanah itu.

“Kami dalam proses permohonan geran ke atas tanah ini dan dia tiada hak untuk menghalang kami menggunakan tanah ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Gombak, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika ditemui berkata, pihaknya telah menerima permohonan geran melibatkan kedua-dua belah pihak dan akan melakukan siasatan.

“Tanah plot 1 seluas kurang satu ekar itu adalah milik kerajaan negeri dan menjadi kesalahan menggunakan kawasan tersebut tanpa kebenaran.

“Hanya rumah dibina sebelum 2008 dan membuat permohonan geran selepas 2011 akan dipertimbangkan hak milik tapi Muhammad Noor hanya membuat permohonan 29 Oktober lalu,” katanya.

Menurutnya, perkara tersebut akan dibawa untuk pemerhatian Exco dan kedua-dua pihak tidak mempunyai hak untuk menggunakan kawasan tersebut tanpa kebenaran.

Sinar Harian 3 Nov 2013

0 comments:

Post a Comment