October 14, 2013

Tragedi ketika pulang beraya

Keadaan kereta mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Londah-Pasir Besar, Gemas, semalam. Gambar kecil: SOFIAN

GEMAS – Perjalanan pulang dua sahabat ke kampung halaman menyambut Hari Raya Aidiladha Selasa ini, berakhir tragedi apabila kereta dinaiki terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter sebelum merempuh sebatang pokok getah di Jalan Londah-Pasir Besar, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu, Sofian Mohd Yunus, 37, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala. Manakala rakannya, Mohd Russlee Hamid, 30, dikejarkan ke Hospital Segamat dan kini berada di unit rawatan rapi (ICU).

Menurut sepupu Sofian, Wan Norasiah Wan Jaafar, 47, ketika kejadian dia, suami dan anaknya dalam perjalanan pulang dari Pasir Besar, Gemas ke Kuala Krai, Kelantan bagi menyambut hari raya di kampung halaman.

“Bagaimanapun, semasa tiba di Jerantut, Pahang, kami menerima panggilan dari adik Sofian menyatakan abang mereka terbabit dalam kemalangan. Kami ingat kemalangan kecil memandangkan dia cermat memandu kereta.

“Kami menerima panggilan kedua dan berpatah balik ke lokasi kemalangan. Saya terkejut melihat kenderaan arwah berada di dalam gaung,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.

Norasiah berkata, Allahyarham Sofian sudah tujuh tahun bekerja sebagai pemandu syarikat swasta di Johor Baharu dan biasa berhadapan dengan situasi pulang ke kampung semasa musim perayaan.

“Arwah tolak pelawaan rakannya untuk pulang bersama Jumaat lalu kerana mahu menunggu keretanya siap dibaiki,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata,  berdasarkan siasatan awal, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dalam perjalanan dari Gemas dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kereta jenis Honda Accord dipandu mangsa terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter sebelum merempuh sebatang pokok getah.  Mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

“Manakala, seorang lagi mangsa dikejarkan ke Hospital Segamat bagi rawatan lanjut selepas dikeluarkan dari kenderaan yang remuk," katanya.

Sinar Harian 14 Okt 2013


Lelaki maut pulang sambut Aidiladha

Gemas: Seorang pemandu lori sebuah syarikat dari Johor Bahru terbunuh manakala rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Pasir Besar-Londah, dekat sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Kampung Batu Balai di Kuala Krai, Kelantan untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga.

Menurut sumber, pemandu terbabit, Sofian Mohd Yunus, 37, maut di tempat kejadian akibat parah selepas tersepit dalam kereta Honda Accord dipandunya.

Katanya, rakan lelaki mangsa yang belum dipastikan identitinya parah di kepala serta badan dan kini dirawat di Hospital Segamat (HS), Johor.

“Kereta mangsa dipercayai terbabas sendiri ke gaung dan merempuh pokok mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan yang remuk.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat dan berjaya mengeluarkan mangsa.

“Begitupun, pemandu (Sofian) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan dan mayatnya dibawa ke Hospital Tampin (HT), sementara rakannya dikejarkan ke HS untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga si mati, Mohd Zin Ahmad,52, berkata, kebetulan ketika kejadian dia juga dalam perjalanan balik dari Gemas ke Kuala Krai, Kelantan sebelum menerima berita sedih itu.

“Setibanya di Jerantut, Pahang saya menerima panggilan dari keluarga memaklumkan mangsa kemalangan dan berpatah balik menuju ke bilik mayat HT.

“Saya difahamkan, arwah sepatutnya balik ke kampung malam semalam (kelmarin), namun keretanya mengalami kerosakan dan selepas siap dibaiki barulah dia bertolak pulang pagi tadi,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HT di sini.

Mohd Zin berkata, mereka sekeluarga berasa peliknya kerana sepatutnya arwah yang dalam perjalanan balik ke Kelantan mengikut Jalan Segamat-Muadzam Shah, namun sebaliknya dia melalui Jalan Pasir besar-Londah.

Sementara itu jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya untuk disemadikan di kampung halamannya di Kuala Krai, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 14 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment