October 10, 2013

Remaja, dua bayi perlukan sumbangan untuk pembedahan jantung

(Dari kiri) Yap Qi Lin, Muhammad Adam Dinie serta ibunya, Nur Suraya Khamis dan Muhammad Azraqi Izzmie Shahul Hamid serta ibunya, Asliza Ahmad di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur semalam. Foto Syarafiq Abd Samad

RAYU SUMBANGAN: Tanpa sumbangan, mereka tidak boleh dibedah

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki dan dua kanak-kanak yang mengalami penyakit jantung yang serius merayu sumbangan dari orang ramai untuk menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Gleneagles Intan.

Yap Qi Lin, 15, yang dilahirkan dengan penyakit jantung berlubang pernah dibedah pada tahun 2000 dan sihat sejak itu.

Namun, ketika diperiksa baru-baru ini, doktor mendapati injap kanannya perlu digantikan dengan injap tiruan. Kos pembedahan dianggarkan berjumlah RM50,000.

Yap, seorang pelajar Sekolah Menengah Chong Hwa, merupakan peminat sukan, gemar bermain squash dan bola keranjang.

"Saya harap dia dapat dibedah dan menjalani kehidupan normal selepas itu," kata ibunya, Chin Kon Ling, yang bekerja sebagai peniaga makanan dengan suaminya.

Sementara itu, Muhammad Azraqi Izzmie Shahul Hamid, 7 bulan, yang mengalami Sindrom Down, dilahirkan dengan jantung berlubang serta saluran paru-paru tersumbat, memerlukan pembedahan yang kosnya berjumlah RM47,000.

Peredaran darahnya terlalu terhad menyebabkan dia selalu bertukar menjadi kebiruan akibat kekurangan oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat darah beku pada otak (thrombosis).

Ibunya, Asliza Ahmad, 37, berkata, dia amat sedih selepas mengetahui penyakit anaknya itu.

"Azraqi perlu diberi perhatian selalu kerana kalau dia menangis terlalu lama, dia sukar bernafas dan bertukar menjadi kebiruan."

Asliza tidak bekerja dan mempunyai 5 anak lagi dan menyara kehidupan mereka bersendirian dengan menjadi agen jualan langsung selepas kematian suaminya, Shahul Ahmad, pada 28 Ogos.

Seorang lagi bayi yang mengalami penyakit jantung yang serius, Muhammad Adam Dinie, 7 bulan, dilahirkan dengan kecacatan jantung dan terdapat lubang besar yang luar biasa pada jantungnya.

Dia memerlukan pembedahan yang kosnya berjumlah RM40,000 dan dia tidak membesar secara normal.
Jika lambat dibedah, dia akan mengalami kerosakan pembuluh darah pada paru-parunya.

Bapanya, Azri Muzhafar, 28, berkata, ketika Adam dilahirkan, beratnya hanya 2.18kg. Kecacatan jantungnya hanya dikesan ketika umurnya 2 bulan.

"Tiada ibu bapa yang inginkan anak mereka mengalami kecacatan jantung yang luar biasa ini," kata Azri, yang bekerja sebagai penghantar surat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghantar cek di bawah nama New Straits Times Press (M) Bhd, dengan nama pesakit ditulis di belakang sampul surat dan dihantar kepada: Charity Unit NSTP, Finance Department, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Sebarang pertanyaan mengenai cara pembayaran bolehlah menghubungi Pegawai Kanan Kewangan NSTP, Rahmat Mohd Yusoff di talian 03-2056 9660.

Sumber NST 9 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment