October 10, 2013

Padah rempuh polis

AYER KEROH - Padah melanggar detektif hingga patah tangan Julai tahun lalu, seorang penganggur dihukum penjara empat tahun sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan cuba membunuh.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap tertuduh, Voong Thiam Siang, 33,  yang turut dijatuhi hukuman penjara satu tahun enam bulan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Thiam Siang didapati dengan sengaja melanggar dua anggota polis berpangkat Lans Koperal, AK Mohd Nazirudin AK Mohd Matudin, 29, dan Saiful Bahtir Abdul Hamid, 31, menggunakan sebuah kereta hingga menyebabkan AK Mohd Nazirudin patah tangan kiri, di Jalan Tun Hamzah, Bukit Katil kira-kira jam 6 petang, 16 Julai 2012.

Dia didakwa di bawah Seksyen 308 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dari Paya Rumput itu dapati menghalang tugas Saiful Bahtir, AK Mohd Nazirudin dan Mohd Hardy Abdullah, 31, sebagai anggota polis di lokasi, jam dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau keduanya jika sabit kesalahan.

Kes yang mula didakwa di mahkamah pada 24 Julai 2012 itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak, manakala tertuduh diwakili peguam Chin Choong Seong dan seramai tujuh saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan dipanggil sepanjang perbicaraan.

Sinar Harian 10 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment