October 10, 2013

Suami isteri ditahan dalam rampasan syabu terbesar di Kelantan

KOTA BHARU 10 Okt. - Polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di negeri ini selepas menangkap sepasang suami isteri berusia 36 dan 39 tahun di sebuah rumah di Taman Puspa Uda, Telipot dekat sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 malam itu, polis turut merampas satu peket lutsinar berisi serbuk kristal disyaki syabu dan menyita wang tunai dalam pelbagai mata wang bernilai kira-kira RM300,000, barangan kemas, jam tangan, kereta serta motosikal yang kesemuanya bernilai RM1 juta.

Turut ditahan dalam serbuan itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dipercayai anak pasangan tersebut dan seorang lelaki berusia 21 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Supritendan Amran Ramli berkata, siasatan awal pihaknya percaya sindiket itu bergiat aktif mengedar dadah jenis tersebut di negeri itu dan Terengganu.

"Dengan kejayaan tangkapan dan rampasan tersebut, kita percaya telah melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Kelantan.

"Polis telah membuat pemantauan terhadap mereka sejak beberapa minggu lalu dan ketika serbuan dibuat, mereka didapati sedang mengira wang tunai dipercayai hasil perniagaan dadah yang dijalankan.

"Kita turut menemui wang tunai RM217,000 serta beberapa mata wang asing seperti Bhat 35,620, Rupiah 13 juta dan Dollar Singapura 13,600," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.

Amran berkata, pihaknya turut merampas kereta mewah mewah jenis BMW bernilai RM250,000 serta dua lagi kereta jenis Honda bernilai RM110,000 dan barangan kemas bernilai RM180,000.

"Empat buah motosikal jenis Yahama disita dalam serbuan itu dan polis turut merampas satu senjata jenis busur silang atau 'Crossbow' bersama 11 anak panah.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya lelaki berusia 39 tahun positif dadah manakala tiga lagi negatif. Bagaimanapun suspek wanita memiliki rekod jenayah berkaitan dadah pada 2009," katanya.

Dalam pada itu, Amran memberitahu, pihaknya turut mengadakan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kulim, wakaf Bharu Tumpat dan berjaya menahan tiga lelaki terlibat dalam kes dadah, malam kelmarin.

Katanya, hasil serbuan kira-kira pukul 11 malam itu pihaknya berjaya merampas dadah jenis syabu, Eramin 5 dan pil kuda.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan didapati positif mengambil dadah hasil ujian air kencing yang dijalankan dan salah seorang daripada mereka memiliki empat rekod jenayah," katanya.

Utusan 10 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment