October 10, 2013

Hujan lebat 2 jam: Pusat bandar raya, Selangor dilanda banjir kilat

Banjir kilat yang melanda Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto NST / Aizuddin Saad

Banjir kilat yang melanda Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto NST / Aizuddin Saad

Banjir kilat yang melanda Bandar Sri Permaisuri, Cheras. Foto NST / Aizuddin Saad

Orang ramai meredah air banjir di Jalan Rahmat off Jalan Ipoh. - Foto NSTP/Yazit Razali

Pengguna jalan raya meredah banjir dari Jalan Mahameru ke Jalan Ipoh. - Foto NSTP/Yazit Razali


Keadaan tempat letak kereta di Mid Valley selepas dilanda banjir. - Foto The Star

KUALA LUMPUR 10 Okt. - Ribuan pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang ke rumah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas apabila beberapa kawasan di sekitar ibu negara dan Selangor ditenggelami air akibat banjir kilat petang ini.

Kejadian banjir kilat itu berpunca daripada hujan lebat selama dua jam bermula pukul 4 petang.

Antara kawasan yang mengalami banjir adalah di Bangi, Selangor, Jalan Bangsar, Lebuh Raya Besraya, Sungai Besi dan Jalan Rahmat berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kawasan lain adalah bulatan Sungai Besi menghala ke Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Universiti Malaya, Taman Wahyu serta Jalan Cheras berhampiran pusat beli-belah Leisure Mall, Jalan Pantai Baru, Bangsar, Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi dan Bandar Tasik Permaisuri. - UTUSAN ONLINE

10 Okt 2013


5 gelandangan diselamat bomba

LIMA gelandangan terperangkap di bawah jambatan berikhtiar mencari jalan keluar.

ANGGOTA bomba bersiap sedia untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

PEMUDA berpaut pada tali untuk menyelamatkan diri apabila paras air sungai naik.

Kuala Lumpur: “Ketika kami sedang tidur, saya terasa seperti air mengenai badan dan apabila terjaga didapati air Sungai Klang sudah mulai naik,” kata Shah, 26, seorang gelandangan yang terpaksa berpaut pada tebing tinggi hampir empat jam di bawah Jambatan Warisan berdekatan Pasar Seni, di sini, petang semalam.

Shah seorang daripada lima gelandangan berusia 19 dan 33 tahun yang diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur selepas terperangkap di bawah jambatan berkenaan berikutan air naik dalam kejadian hujan lebat bermula kira-kira jam 3.30 petang.

Katanya, dia bersama empat lagi rakan lain pada mulanya berdiri di kawasan tinggi dan apabila hujan semakin lebat, paras air sungai naik dan akhirnya mereka terpaksa berpaut pada tebing tinggi.

“Apabila hujan lebat, saya berasa bimbang jika air naik lebih tinggi. Ketika itu, secara kebetulan saya ternampak seorang rakan yang juga tinggal di tempat sama dan menjerit meminta tolong daripadanya.

“Akhirnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur datang menyelamatkan kami,” katanya.

myMetro 11 Okt 2013


Ibu kota dilanda banjir kilat

PENIAGA, Noraini Baba termenung melihat kedainya dinaiki air di Jalan Rahmat, petang semalam.

ORANG ramai mengharung air selepas Jalan Rahmat dilanda banjir kilat.

Kuala Lumpur: Ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lebih sejam malah beberapa kenderaan tenggelam akibat banjir kilat berikutan hujan lebat melanda ibu kota, petang semalam.

Air mulai naik berikutan hujan lebat bermula kira-kira jam 3.30 petang itu.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kesesakan beberapa jalan utama yang dinaiki air hingga menyukarkan kenderaan melalui kawasan berkenaan, kira-kira jam 5.15 petang.

“Kami juga menerima laporan mengenai beberapa kenderaan ditenggelami air di Jalan Kuching dan Jalan Rahmat. “Kebanyakan kenderaan ditenggelami air adalah yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan oleh pemilik yang bekerja di bangunan berhampiran.

“Bagaimanapun, tiada laporan pokok tumbang dan kemalangan jiwa dilaporkan setakat petang ini (semalam),” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Harian Metro difahamkan, Jalan Ipoh, Jalan Pantai Baru, Jalan Bangsar, Kampung Malaysia Raya, Sungai Besi dan Bandar Tasik Permaisuri turut dilanda banjir kilat dan pengguna lalu lintas terperangkap selepas kenderaan mereka dimasuki air.

Di Selangor, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya hanya menerima maklumat banjir kilat di kawasan Bangi dan Petaling Jaya, di sini.

myMetro 11 Okt 2013


60 rumah dinaiki air di Kajang

Hampir 60 rumah di Kampung Sungai Ramal Dalam ditenggelami air, petang tadi.

KAJANG – “Memang terkejut apabila air tiba-tiba melimpah masuk ke dalam rumah dan terus menenggelamkan perabot serta peralatan elektrik,”kata penduduk Kampung Sungai Ramal Dalam, Subaidah Mustafa, 58.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kira-kira 300 penduduk dari 60 rumah di sini terjejas apabila kediaman didiami dilimpahi hujan lebat yang melanda kawasan itu, petang tadi.

Subaidah berkata, dalam keadaan kelam-kabut dia dan anaknya terus mengalihkan barangan ke tempat tinggi.

Jelasnya,  sejak 26 tahun mendiami kampung itu, semalam kejadian banjir terburuk menyebabkan dia serta penduduk lain kerugian hampir ribuan ringgit apabila beberapa peralatan rosak ditenggelami air.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang melipat pakaian manakala cucu yang  kebetulan berada di rumahnya pula tidur.

Subaidah berkata, rumah diduduki itu sering dinaiki air tetapi kebiasaannya hanya sampai di bahagian dapur.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila air terus melimpah masuk memenuhi segenap ruang rumahnya hampir ke paras lutut.

“Kali terakhir kami di sini menghadapi bencana banjir serius pada 12 tahun yang lalu, selepas itu ia mula berkurangan sehinggalah kejadian petang ini.

“Memang rasa bimbang bencana berulang apatah Hari Raya Korban bakal menjelang beberapa hari lagi,”katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohammad Firdaus Mohd Kamil, 26, berkata, sebaik menyedari air mula masuk ke dalam ruang tamu rumah, dia terus mengalihkan peralatan elektrik dan perabot ke tempat lebih selamat.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada sungai yang didakwa tidak mampu menampung jumlah hujan yang banyak.

Ditambah dengan kedudukan rumahnya yang terletak di kawasan rendah,  lokasi itu dengan mudah dinaiki air apabila hujan terlalu lebat.

“Saya sedang menonton televisyen, apabila air melimpah masuk dalam rumah terus menjerit kepada ahli keluarga lain  supaya segera mengalihkan barang-barang.

“Ada juga yang tidak sempat dialihkan dan terapung dalam air begitu sahaja,”katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, beberapa kawasan sekitar Bandar Baru Bangi turut terjejas akibat hujan lebat hari ini.

Beberapa buah kenderaan dilapor ditenggelami air dan kesesakan teruk berlaku di lokasi terlibat.

Sinar Harian 10 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment