October 5, 2013

Nelayan dikhuatiri hilang di laut

ASIAH (tengah) bersama tiga anaknya menunjukkan gambar suaminya yang dikhuatiri hilang di laut di Tumpat semalam.

TUMPAT – Seorang nelayan dikhuatiri hilang di laut selepas keluar untuk menunda bot rakannya yang tersadai di kawasan Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu sejak tiga hari lalu.

Mangsa, Abdul Aziz Daud, 58, yang berasal dari Kampung Pulau Seratus di sini dikatakan keluar berseorangan dengan menaiki sebuah bot laut dalam kira-kira pukul 8.30 pagi dari pangkalan Kok Majid dekat sini Rabu lalu.

Isteri mangsa, Asiah Ismail, 51, berkata, berita kehilangan suaminya itu ketahui selepas diberitahu bot yang sepatutnya ditunda oleh Abdul Aziz telah selamat tiba di pangkalan Kok Majid hasil bantuan nelayan lain.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan suaminya, dia kemudian membuat laporan di Balai Polis Palekbang dekat sini kelmarin.

“Anak saya bersama beberapa penduduk kampung telah melakukan gerakan mencarinya, namun hingga kini masih belum menemui sebarang petunjuk.

“Difahamkan bot yang ingin ditunda suami saya itu mengalami kerosakan pada bahagian kipas enjin dan tersadai di pantai berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Gorek dekat sini semalam.

Kosmo 5 Okt 2013


Nelayan hilang belum ditemui

TUMPAT - Nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar untuk menunda bot rakannya di perairan Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu masih belum ditemui.

Mangsa, Abdul Aziz Daud, 58, berasal dari Pulau Seratus, dekat sini, sudah empat hari dikhuatiri hilang di laut.

Isteri mangsa, Asiah Ismail, 51 memaklumkan, setakat dia sekeluarga belum menerima sebarang khabar berita mengenai suaminya.

"Saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH agar suami saya ditemui dengan selamat.

"Kami sekeluarga tidak putus-putus melakukan solat hajat," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Asiah berkata, dia menyerahkan kepada Pasuka Polis Marin serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menjalankan usaha mencari suaminya.

"Semalam anak saya bersama penduduk telah berusaha mencarinya, tetapi gerakan mencari terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan," katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan seorang nelayan dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas keluar untuk menunda bot rakannya yang terkandas di perairan Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu akibat kerosakan kipas enjin.

Abdul Aziz bertolak ke lokasi terbabit bersendirian dari pangkalan Kok Majid, di sini, menaiki bot nelayan pada jam 8.30 malam, Rabu lalu untuk membantu rakan-rakannya.

Bagaimanapun, selepas tiga hari mangsa tidak pulang sedangkan bot yang terkandas selamat tiba di pangkalan Kok Majid dengan dibantu nelayan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi memaklumkan, nelayan berkenaan belum ditemui dan gerakan mencari mangsa masih diteruskan.

Sinar Harian 6 Okt 2013


Nelayan hanyut 19 hari ditemui selamat dekat Pulau Perhentian

ABDUL AZIZ (kiri) menceritakan pengalamannya kepada Wan Ismail ketika tiba di Jeti Pelancongan Kuala Besut, Terengganu semalam.

Abdul Aziz (tengah) diiringi saudaranya untuk dihantar ke Hospital Besut sebelum pulang ke Tumpat.


Abdul Aziz (kanan) menunjukkan wang kertas Vietnam yang diperoleh daripada nelayan negara tersebut.

Abdul Aziz (kanan) dipeluk saudaranya sejurus tiba di Jeti Kuala Besut, petang semalam.

KUALA BESUT - Nelayan yang dilaporkan hilang selepas keluar menunda bot rakannya di sekitar Pantai Dasar Sabak ditemui selamat kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Perhentian semalam, selepas hanyut dibawa arus selama 19 hari.

Abdul Aziz Daud, 58, dari Kampung Pulau Seratus, Tumpat, yang ditemui pekerja Island Resort di antara Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah jam 12 tengah hari itu dibawa ke Balai Polis Pulau Perhentian sebelum dibawa ke Jeti Pelancongan di sini, oleh bot polis.

Abdul Aziz yang disambut saudara-mara di jeti tersebut sempat menceritakan pengalaman bergelut dengan maut apabila botnya hanyut sehingga ke perairan Vietnam.

“Saya terserempak dengan kapal besar, yang kemudiannya membantu mengikat bot saya pada buluh unjang dan berjanji untuk membantu saya selepas selesai kerja, malangnya ikatan terlucut dan saya hanyut semula.

“Saya hanyut ke pesisiran pantai Vietnam. Saya dibantu nelayan itu yang kemudiannya bersetuju menghantar saya ke satu pelantar minyak kerana mereka takut menceroboh perairan negara,” katanya.

Terima bantuan nelayan Vietnam

Abdul Aziz berkata, kaki tangan pelantar minyak terbabit enggan menerimanya, menyebabkan dia meneruskan usaha pulang ke rumah selepas nelayan Vietnam membekalkan kompas, empat tong minyak dan bekalan makanan.

Selepas itu katanya, dia dikejar pihak berkuasa asing dan berjaya meloloskan diri tetapi arah untuk pulang semakin kabur.

“Apabila bot kehabisan minyak, saya membuat layar menggunakan dua kain sarung kerana risau hanyut lebih jauh sehingga saya menyedari menghampiri perairan Kemaman apabila melihat api di daratan seakan daripada loji minyak,” katanya.

Katanya, dia hanya memikirkan soal mati kerana melalui hidup terlalu sukar termasuk dibadai ribut setiap hari selama seminggu.

Makan dua ekor ikan sehari, tadah air hujan

“Saya keluar dulu tidak membawa makanan, saya minum air daripada tangki air enjin bot dan selepas air habis, saya menadah air hujan untuk minum.

“Pada waktu Maghrib, saya mencampak sampah ke permukaan laut untuk menarik ikan-ikan, saya berjaya mengail ikan ‘tapak kasut’ dan ikan ‘barat’ dengan menggunakan paku sebagai mata kail.

“Saya makan dua ekor sehari kerana bukan senang untuk mendapatkan ikan, lagipun saya tidak tahu berapa lama lagi akan hanyut,” katanya sejurus tiba di Jeti Kuala Besut, jam 3.15 petang, semalam.

Selain saudara-mara, Abdul Aziz turut disambut anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin, diketuai Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Wan Ismail Wan Mamat.

Abdul Aziz berkata, ketika keluar ke laut untuk menunda bot rakannya pada 2 Oktober lalu, dia gagal menghubungi rakannya kerana hilang liputan telefon bimbit.

Katanya, dia berpatah balik untuk mencari lokasi yang ada liputan tetapi malangnya, tangki minyak enjin terbalik ketika membuat pusingan.

“Ketika itu enjin mati dan saya tidak dapat bersauh kerana tali sauh pendek. Saya ambil tali kemudi untuk menyambungnya tetapi ia putus, menyebabkan bot saya hanyut.

"Saya bergelut antara hidup dan mati, tidak putus-putus berdoa dan saya tidak tahu mengenai Hari Raya Aidiladha sama ada ia sudah berlalu atau sebaliknya,” katanya.

Sinar Harian 21 Okt 2013


Tak mahu suami ke laut sendirian

Tumpat: Isteri Abdul Aziz Daud, 58, iaitu nelayan yang ditemui selamat selepas hilang di laut selama 19 hari, nekad tidak membenarkan suaminya itu ke laut bersendirian kerana bimbang dia hilang lagi.

Asiah Ismail, 51, berkata, dia rela memujuk suaminya melakukan kerja kampung bagi menggantikan pekerjaan sebagai nelayan yang dilakukan lebih 20 tahun.

“Kalau dia (suami) hendak pergi (ke laut), dia mesti ditemani rakan. Jika (pergi) seorang diri memang saya tak benarkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Gorek, di sini, semalam.

Menurut Asiah, dia bagaikan tidak percaya suaminya masih hidup dan pulang dalam keadaan selamat kerana pada firasatnya, suaminya meninggal dunia.

“Saya tidak yakin suami masih hidup memandangkan lebih dua minggu dia hilang dan tidak dapat dikesan.

“Dalam tempoh itu, lima kali saya membuat solat hajat minta Allah SWT berikan petunjuk di mana kedudukan suami saya, tidak kira hidup atau mati,” katanya yang turut memaklumkan hampir mengadakan majlis tahlil berikutan suaminya hilang dalam tempoh lama.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Abdul Aziz yang turun ke laut bagi membantu menunda bot rakannya di Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu pada 2 Oktober dilaporkan hilang sebelum ditemui selamat oleh pekerja Perhentian Island Resort berhampiran Pulau Lang Tengah, Ahad lalu.

Selama 19 hari, Abdul Aziz berdepan pelbagai pengalaman pahit, antaranya, terpaksa menggunakan kain sarung sebagai layar untuk menggerakkan bot selepas habis minyak dan minum air diambil dari enjin bot yang bercampur minyak.

Abdul Aziz berkata, dia tidak serik dengan peristiwa itu dan menganggap ia satu pengalaman baru yang sangat bermakna.

myMetro 23 Okt 2013


'Saya tak serik turun ke laut'

TUMPAT - “Saya tidak serik untuk turun ke laut kerana ia adalah punca rezeki saya sejak 20 tahun lalu,” kata nelayan yang hilang di laut selama 19 hari yang disangka oleh keluarganya sudah meninggal dunia.

Abdul Aziz, 58, berkata, bertarung nyawa selama 19 hari di laut dibadai ribut dan dikejar lanun serta hanyut sehingga ke perairan Vietnam tanpa bekalan makanan, tidak sedikit pun meninggalkan kesan padanya.

“Saya akan turun ke laut kerana inilah punca rezeki sejak umur belasan tahun lagi.

“Dengan pekerjaan ini juga saya dapat membesarkan tujuh anak sehingga ada yang berjaya menjejak kaki ke universiti,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah mertuanya di Kampung Pulau Gorek di sini, semalam.

Abdul Aziz yang tinggal di Pulau Seratus berkata, walaupun isterinya, Asiah Ismail, 51, tidak membenarkannya dia turun ke laut lagi, tetapi dia nekad meneruskan pekerjaannya itu.

“Alah bisa tegal biasa bagi seorang nelayan dibadai ribut, lagi pun sebelum ini saya sudah lali dengan pengalaman ngeri di laut apabila pernah suatu ketika itu hampir lemas apabila bot terbalik di pukul ombak.

“Cuma pengalaman selama 19 hari hanyut di laut adalah pengalaman paling pahit dalam hidup saya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang menempuh saat getir itu ingatannya tidak pernah lekang kepada anak kembarnya, Nursyakira dan Nursyakila, 16.

Dalam pada itu, Abdul Aziz amat terhutang budi kepada nelayan Vietnam yang menyelamatkannya apabila memberi bekalan makanan dan empat tong diesel dan kompas membolehkannya meneruskan perjalanan pulang selepas hanyut di perairan negara Vietnam.

Saudara kepada Abdul Aziz, Mohd Yusof Abdul Rahman, 51,  kesal dengan sikap kurang prihatin pekerja pelantar minyak yang tidak memberikan pertolongan kepada bapa sepupunya itu selepas bot nelayan Vietnam menunda ke arah pelantar minyak itu.

“Orang asing sanggup bantu, tetapi rakyat Malaysia tidak mengendahkannya sedangkan ketika itu dia dalam keadaan kecemasan,” katanya.

Kelmarin Abdul Aziz yang dilaporkan hilang di laut selama 19 hari termasuk dihanyutkan ke perairan Vietnam ditemui selamat oleh pekerja Perhentian Island Resort kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Perhentian, Terengganu.

Sinar Harian 23 Okt 2013

1 comment: