October 13, 2013

Lelaki berperwatakan wanita ditemui mati di rumah sewa di Bagan Ajam

ANGGOTA polis mengangkat mayat Athiswaran yang dibunuh di rumah sewanya di Butterworth, Pulau Pinang semalam.

BUTTERWORTH 13 Okt. - Seorang lelaki berperwatakan wanita ditemui mati berlumuran darah dengan beberapa kesan kelar di leher dan badan di rumah sewanya di di Blok A, Taman Pantai Bersih, Bagan Ajam
awal pagi ini.

Mayat S. Athiswaran, 31, ditemui pada pukul 9 pagi oleh jirannya di dalam sebuah bilik rumah sewa yang didiaminya sejak dua tahun lalu.

Jiran yang tinggal bersebelahan rumah sewa mangsa merasa hairan apabila mendapati pintu utamanya terbuka dan apabila ditolak dia terkejut selepas ternampak mayat mangsa yang berlumuran darah sebelum menghubungi polis.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, polis yang tiba tidak lama kemudian menemui mayat mangsa dalam keadaan kaki dan tangan diikat manakala badannya ditutup dengan plastik dalam sebuah bilik.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati terdapat beberapa luka dan kesan kelar di leher dan perut mangsa.

Katanya, berdasarkan keterangan jiran mangsa, mereka terdengar bunyi kecoh dan pergaduhan di rumah lelaki itu lewat malam tadi.

"Mangsa menyewa rumah itu seorang diri dan kita tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu dilakukan lebih daripada seorang suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini. - UTUSAN ONLINE

Sumber Utusan dan Kosmo 13 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment