October 13, 2013

Peragut ditahan, 10 kes selesai


DUNGUN 13 Okt. - Tindakan seorang peragut menyimpan hasil kegiatan jenayah membawa padah kepada dirinya apabila memudahkan pihak polis menyelesaikan siasatan sekurang-kurangnya 10 kes ragut di sekitar bandar ini sejak Ogos lalu.

Suspek yang merupakan penganggur berusia 27 tahun ditahan kira-kira pukul 3.30 petang Jumaat lalu di Kampung Alor Tembesu selepas kelihatan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub memberitahu, hasil pemeriksaan, pihak polis menemui dompet dan dua telefon bimbit bersama suspek.

"Siasatan juga membawa kepada penemuan sebuah kotak mengandungi beberapa beg tangan wanita, dompet, telefon bimbit dan beberapa dokumen peribadi milik beberapa mangsanya di bawah rumah suspek," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelasnya, suspek juga turut mengaku melakukan kesalahan tersebut dengan menyasarkan wanita yang menunggang bersendirian dengan meletakkan beg tangan di dalam raga motosikal. - UTUSAN ONLINE

13 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment