October 10, 2013

3 perompak kedai emas ditembak mati, seorang cedera di Ipoh

ANGGOTA polis mengangkat salah satu daripada tiga penjenayah. FOTO Supian Ahmad


TIMBALAN Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam (dua dari kiri) bersama pegawainya memeriksa tempat kejadian.

Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) bersama timbalannya, Datuk A. Paramasivam (tengah) menunjukkan barang kemas yang dicuri sekumpulan penjenayah yang ditembak mati di Meru Raya dalam sidang akhbar di Ipoh. semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

IPOH 10 Okt. - Kurang 24 jam selepas menumpaskan tiga penjenayah warga Indonesia di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) di ibu negara semalam, polis menembak mati tiga lagi penjenayah yang baru merompak sebuah kedai emas di bandar Meru Raya di sini hari ini.

Ini merupakan kejayaan terbaharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan enam penjenayah berbahaya yang ditembak mati dalam tempoh 48 jam.

Polis juga berjaya menemukan tujuh dulang barang kemas bernilai lebih RM1.8 juta yang dilarikan penjenayah tersebut dari sebuah kedai emas berhampiran Pasar Raya Besar Mydin Meru Raya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.10 pagi itu, tiga penjenayah tersebut tumpas selepas berbalas tembakan dengan pasukan polis manakala seorang lagi sempat meloloskan diri ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kira-kira 15 minit sebelum kejadian itu, empat penjenayah berkenaan merompak kedai emas di bandar Meru Raya.

Katanya, bertindak atas maklumat sebuah pasukan Op Cantas Khas yang beroperasi di kawasan itu berjaya mengesan kereta jenis Proton Waja dinaiki penjenayah berkenaan tidak jauh dari tempat kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi.

"Semasa cuba menahan kereta tersebut di bulatan Meru Raya, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta polis dan terus memecut laju sebelum terbabas di persimpangan lampu isyarat di simpang tiga Meru Raya.

"Seorang suspek keluar dari kereta lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis yang kemudian membalas tembakan dan berjaya menumpaskan tiga penjenayah manakala seorang lagi melarikan diri ke dalam kebun kelapa sawit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Acryl Sani berkata, polis percaya penjenayah yang masih bebas itu tidak dapat lari jauh dan akan ditangkap dalam tempoh terdekat kerana dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kaki sama ada akibat ditembak atau terseliuh semasa cuba melarikan diri.

"Polis telah mengepung kawasan tersebut dan memanggil Pasukan Gerakan Am untuk menjejaki penjenayah yang lolos itu. Orang ramai atau pengamal perubatan yang mendapati mana-mana lelaki berketurunan India cedera akibat tembakan diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam kereta dinaiki penjenayah terbabit, polis menemukan sepucuk pistol jenama Star jenis Caliber 7.2mm, dua telefon bimbit, sebilah parang, dua topeng ski, tiga butir peluru .32mm, dua kelongsong peluru .32mm dan tujuh dulang barang kemas.

"Semasa menjejaki suspek yang melarikan diri, polis juga menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson bersama tiga butir peluru Caliber 9mm di dalam kebun kelapa sawit tersebut yang dipercayai tercicir daripada suspek yang masih bebas," katanya.

Katanya, kenderaan dinaiki penjenayah berkenaan didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 3 Oktober lalu.

Acryl Sani berkata, setakat ini, polis belum mengenal pasti identiti kesemua penjenayah berkenaan kerana tiada dokumen pengenalan ditemui pada mereka.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada pasukan polis atas kejayaan terbaharu itu selepas berjaya menembak mati tiga penjenayah di pekan Gerik pada 2 Oktober lalu.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Utusan 10 Okt 2013


2 ditembak ada rekod jenayah

Ipoh: Dua daripada tiga suspek yang ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di berhampiran Pasaraya Mydin Bandar Meru Raya, di sini, pagi kelmarin, dikenal pasti mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dua daripada suspek dipercayai terbabit jenayah samun bersenjata, manakala seorang tiada rekod jenayah.

“Semakan lanjut mendapati suspek pertama S Suntheram Pillai, 33, beralamat Jalan Kemaman, Kampung Taram, di sini, mempunyai satu rekod lampau mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan membabitkan samun bersenjata.

“Sementara S R Rangayan, 25, beralamat Lintang Wing Onn, Taman Wing On Ipoh, mempunyai rekod mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata dan mengambil wang tunai dalam sebuah lori,” katanya.

Beliau berkata, seorang lagi suspek yang dipercayai pemandu kenderaan, Chan Fook Keong, 26, beralamat Jalan Waja 25/138, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu dijalankan dan usaha mengesan suspek yang melepaskan diri sedang dilakukan ” katanya.

myMetro 12 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment