October 10, 2013

Ketua Penolong Pengarah didakwa terima deposit RM3,000

Tak mengaku terima suapan RM3,000

Kuala Lumpur: Seorang Ketua Penolong Pengarah Kementerian Pendidikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menerima deposit cek RM3,000 berhubung tender perkhidmatan gerai pameran pendidikan karnival 'Jom Masuk U', dua tahun lalu.

Ismail Nor Hassan Basri, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar di Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi didakwa menerima satu deposit cek bernilai RM3,000 daripada pembekal ruang pameran, Low Chon Yok.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kerana Ismail mengetahui Low ada kaitan dengan tender perkhidmatan mereka bentuk, penyediaan dan pemasangan gerai pameran pendidikan termasuk perkhidmatan sewaan tapak pameran dan perkhidmatan penyediaan untuk majlis pelancaran dan majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi 'Jom Masuk U', di mana tertuduh turut terbabit dalam program itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Hong Leong Bank Cawangan Setapak, 8&10, Jalan 3/50C Taman Setapak Indah Jaya, Off Jalan Genting Klang pada 4 Oktober 2011.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Amir Hamzah Idris menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Tan Hui Chuan, yang mewakili Ismail merayu jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan alasan anak guamnya itu memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan.

myMetr 11 Okt 2013

0 comments:

Post a Comment