September 3, 2013

Kanak-kanak derita sakit kanser otak

Mohd Amir Irfan kini terlantar di katil di rumah mereka di Taman Tambun Emas selepas disahkan mengalami kanser otak bulan lalu.

TAMBUN – Ketika rakan sebaya gembira menyambut Aidilfitri , seorang kanak-kanak dari Taman Tambun Emas di sini, hanya mampu terlantar di katil akibat menderita kanser otak tahap empat.

Keadaan Mohd Amir Irfan Zulkifli, 8, tambah menyedihkan apabila anak ke empat dari lima beradik itu lumpuh separuh muka selepas ketumbuhan otak dibuang pada pembedahan kedua pada 18 Julai lalu.

Bapanya, Zulkifli Ismail, 38, berkata, anaknya itu dikesan menghidap kanser otak pada hari pertama puasa lalu selepas mengadu sakit kepala dan muntah-muntah.

Menurutnya, sebelum itu Amir Irfan turut menjalani pembedahan pertama membuang pengumpulan air di bahagian otak tetapi keadaannya tidak beransur pulih.

“Tiga minggu sebelum puasa, Amir mengadu sakit kepala teramat sangat sehingga tidak lalu makan dan muntah-muntah. Saya bawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan tetapi doktor memberitahu ia cuma sakit kepala biasa.

“Seminggu makan ubat, keadaan sama berulang menyebabkan dia dibawa kali kedua tetapi doktor menyatakan anak saya hanya sakit mata. Tidak tahan masalah berulang, saya marah-marah dan barulah ketumbuhan itu dikesan selepas menjalani pemeriksaan rapi,” katanya.

Zulkifli berkata, selepas pembedahan itulah, anak saya yang sebelum ini seorang kanak-kanak yang periang dan ramah kini terlantar dan persekolahannya terpaksa  dihentikan.

Katanya, anaknya itu sepatutnya menjalani 33 kali rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap hari bagi mengelak sel kanser merebak.

“Selepas menjalani dua kali rawatan, keadaan badannya sangat lemah. Apabila diserang kesakitan, dia akan menangis teresak-esak dan tidak lagi makan apabila bergantung kepada susu khas yang disediakan.

“Memang sedih melihat keadaan dia tetapi kewangan menjadi kekangan kepada keluarga kami untuk meneruskan rawatan di HKL,” katanya yang bekerja sebagai peniaga kecil di pasar malam.

Sementara itu, isterinya, Mastura Ali, 37, juga terpaksa berhenti membuat kuih  kerana menjaga Mohd Amir sepenuh masa selain menanti kelahiran anak ke enam mereka dua bulan lagi.

“Kini, kami terpaksa berjimat kerana kos perbelanjaan rawatan dan ulang alik ke hospital tinggi. Malah, susu yang dibeli melibatkan kos lebih RM1,000 sebulan selain menanggung perbelanjaan dua anak lain yang masih bersekolah,” katanya yang menyewa di Dataran Perpaduan Selatan 1, Taman Tambun Emas di sini.

Akibat bebanan kewangan meruncing anak sulung mereka, Siti Khadijah yang sepatutnya menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun hadapan terpaksa berhenti sekolah untuk membantu keluarga.

Pelajar tingkatan dua di Sekolah Menengah Darul Taqwa Tanjung Rambutan terpaksa berhenti sekolah akibat kekangan kewangan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zulkifli di talian 017-5628586 atau menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank atas nama Zulkifli Ismail bernombor 158284094467.

Sinar Harian 3 Sep 2013


Derita Amir dapat perhatian

IPOH -Penderitaan Mohd Amir Irfan Zulkifli, 8, yang menderita akibat mengidap kanser otak tahap empat mendapat perhatian Adun Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang menyampaikan sumbangan peribadi melalui Pegawai Khasnya, Aziz Ramli kepada kanak-kanak itu, semalam.

Aziz yang mewakili Aminuddin menghulurkan bantuan barangan keperluan harian serta sumbangan wang tunai di rumah sewa keluarga kanak-kanak terbabit di Dataran Perpaduan Selatan 1, Taman Tambun Emas, di sini.

Menurutnya, bantuan lampin pakai buang dan susu Mohd Amir Irfan akan dibekalkan secara berterusan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

“Sebagai pihak bertanggungjawab, kami akan membantu penduduk yang memerlukan bantuan pada bila-bila masa.

“Malah, jika Mohd Amir Irfan memerlukan bantuan, keluarganya boleh memaklumkan kepada kami untuk tindakan seterusnya,” katanya yang mengetahui mengenai nasib kanak-kanak terbabit melalui Sinar Harian, 3 September lalu.

Sementara itu, ibu kepada kanak-kanak terbabit, Mastura Ali, 37, amat terharu dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Katanya, anaknya turut menerima bantuan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) yang menyumbangkan bantuan kewangan RM300 setiap bulan selama setahun dan bekalan susu.

“Setakat ini, anak saya sudah menjalani rawatan radioterapi sebanyak dua kali namun kini terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana keadaannya terlalu lemah.

“Selain itu, kami masih menunggu panggilan daripada hospital untuk menjalani rawatan kimoterapi.

“Manakala esok, (hari ini) dia akan menjalani pemeriksaan ENT (telinga, hidung dan tekak) dan mata pada November ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya yang dijangka menimang cahaya mata keenam Oktober ini.

Mastura berkata, dia dan suami, Zulkifli Ismail, 38, turut membawa anaknya itu menjalani rawatan alternatif seperti terapi Al-Quran dan aroma terapi.

“Kami sekeluarga mendoakan dan berharap dia sembuh seperti sedia kala dan bergerak aktif seperti sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, anak ke empat dari lima beradik itu lumpuh separuh muka selepas ketumbuhan otak dibuang pada pembedahan kedua pada 18 Julai lalu.

Kanak-kanak itu dikesan menghidap kanser otak pada hari pertama puasa lalu selepas mengadu sakit kepala dan muntah-muntah.

Mohd Amir Irfan menjalani pembedahan pertama membuang pengumpulan air di bahagian otak tetapi keadaannya tidak beransur pulih.

Sinar Harian 6 Sep 2013


'Pergi dengan tenang'

Zulkifli (baju biru) menyempurnakan pengebumian anaknya, Mohd Amir Irfan, di Tanah Perkuburan Islam Tambun, semalam.

IPOH - Suasana sayu diiringi hujan seolah-olah turut meratapi pemergian Mohd Amir Irfan Zulkifli, 8, ketika disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun, di sini, semalam.

Anak keempat daripada lima adik beradik disahkan menghidap kanser otak tahap empat pada awal Ramadan lalu sebelum ini hanya mampu terlantar di rumah akibat penyakitnya itu.

Lebih 50 orang termasuk ahli keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan serta penduduk yang hadir jelas tidak dapat menahan kesedihan sewaktu jenazah murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun mula dikebumikan kira-kira jam 10.30 pagi.

Rakan-rakan Muhd Aqil Azhar, 13, abang kepada Allahyarham dari Maahad Tahfiz Addeniyah, Meru, di sini, turut menziarahi tanah perkuburan tersebut ketika upacara pengebumian dilaksanakan.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Surau Al-Jamaiyyah, Taman Hiburan, Hulu Kinta pada jam 9.45 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Kedua ibu bapa Allahyarham, Mastura Ali, 37, dan Zulkifli Ismail, 38, kelihatan tenang ketika jenazah anak mereka disemadikan di tanah perkuburan berkenaan.

Mastura berkata, seminggu sebelum pemergian anaknya itu, keadaan fizikal amat kritikal dan lemah.

“Anak saya juga kelihatan tidak bermaya dan perutnya mula membuncit sehingga sukar untuk membuang air kecil.

“Disebabkan itu, tiub dipasangkan bagi memudahkan dia membuang air kecil,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan semalam.

Menceritakan detik-detik terakhir bersama anaknya, Mastura yang dijangka bersalin Oktober ini berkata, petang kelmarin Mohd Amir Irfan kelihatan terlalu sakit dan dia bersama suami membawa anaknya ke sebuah hospital swasta untuk menukar tiub.

“Bagaimanapun, arwah mula sesak nafas dan doktor segera memberikan surat untuk dirujuk kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut.

“Saya sempat membacakan surah Yasin sebelum arwah dimasukkan ke zon merah hospital berkenaan. Arwah kemudiannya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) hospital berkenaan dan disahkan meninggal dunia jam 8.20 malam semalam (kelmarin).

“Dia kelihatan sangat tenang ketika menghembuskan nafas terakhir seolah-olah sedang tidur,” katanya yang reda dengan pemergian anaknya itu.

Sementara itu, Zulkifli ketika ditemui, memberitahu sedikit terkilan kerana tidak sempat untuk melihat arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, dia sekeluarga reda dengan ketentuan itu dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu keluarganya sepanjang arwah masih hidup.

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua yang mendoakan serta sudi membantu,  memberi semangat dan sokongan kepada arwah.

“Hanya ALLAH saja yang dapat membalas budi pihak yang berkenaan,” katanya yang dijangka akan berniaga semula menjual putu buluh di pasar malam.

Kesemua adik beradik Allahyarham, Siti Khadijah, 14, dan Muhd Afiq, 11, berada mengiringi jenazah berkenaan sehingga ke tanah perkuburan kecuali Muhammad berusia setahun lima bulan yang tinggal bersama ahli keluarga lain di rumah.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan penderitaan yang dialami Mohd Amir Irfan yang kemudiannya mendapat perhatian dan bantuan daripada pelbagai pihak.

Allahyarham lumpuh separuh muka selepas ketumbuhan otak dibuang pada pembedahan kedua pada 18 Julai lalu.

Kanak-kanak itu dikesan menghidap kanser otak pada hari pertama puasa lalu selepas mengadu sakit kepala dan muntah-muntah.

Mohd Amir Irfan turut menjalani pembedahan pertama membuang pengumpulan air di bahagian otak tetapi keadaannya tidak beransur pulih.

Sinar Harian 11 Sep 2013


2 comments:

  1. Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. Penawar Kanser

    ReplyDelete
  2. Slam…sy ada menjual herba warisan yg mampu menyembuhkan kanser dan pelbagai jenis kanser..tahap 1 tahap 2 tahap 3 tahap 4.memusnahkan dan mematikan sel sel kanser sebanyak 0.6 cm dan 0.8 cm sebulan mgikut dose yang di gunakan..herba warisan ini terlalu berkesan…daun herba warisan…merawat dan membaik pulih…jangan tunggu sehinga terlewat..jangan biarkan hidup derita..selagi boleh rawat lebih baik merawat..hutan belantara kita tersembunyi sejuta 1 rahsia…herba ini amat amat mujarab..jangan biar derita membunuh kehidupan anda.ramai yang dah berjaya sembuh dengan produk sy call saya xpun msg xpun wasap sy 0174687570 mohd zuhairi…
    sy cma bntu membantu…sy tidak sangup tngok org dpn mata sy sengsara xpun di ragut nyawa…penawar nya telah ada…hubungi sy secepat munkin
    Orang yang tiada penyakit kanser andai nak amal kan herba saya ini pun boleh…jadikan amalan harian untuk menjaga badan dan membuang toksid…orang ada kanser…saya akan membantu merawat hingga sembuh
    NAMA SYARIKAT SAYA…..JUTAWAN HERBS NO PENDAfTARAN SYARIKAT SAYA PG 0346818-W NAMA PEMILIK MOHD ZUHAIRI BIN NOORDIN

    ReplyDelete