September 5, 2013

Bekas tahanan EO hidup mewah, ditahan edar dadah

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Tanda tanya bagaimana seorang pemuda bergaji RM1,500 sebulan mampu memandu kereta Honda Civic, menyewa kediaman mewah dan kerap melancong ke luar negara, terjawab selepas dia ditahan polis dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Tandok, Bangsar di sini semalam.

Hasil siasatan polis mendapati lelaki berusia 23 tahun, bekerja membaiki telefon bimbit dan pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) itu rupa-rupanya mengedar dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau dalam kes pergaduhan, samun serta dadah sejak berusia 16 tahun.

Beliau berkata, suspek yang berhenti sekolah ketika tingkatan empat pernah ditahan di bawah EO di Sik, Kedah sejak 2009 hingga 2011.

"Selepas dibebaskan dari tahanan, dia bekerja di sebuah kedai membaiki telefon dengan gaji RM1,500 sebulan. Disebabkan gaji tidak besar, dia kembali mengedar dadah untuk membolehkannya menikmati kehidupan mewah termasuk membeli kereta Honda Civic, menyewa rumah berharga RM1,600 dan membawa teman wanita melancong ke luar negara," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

5 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment