September 5, 2013

4 anggota polis dituduh rasuah

IPOH - Dua anggota polis masing-masing berpangkat Koperal dan Lans Koperal didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, semalam atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai berjumlah RM1,300, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Koperal Zulkiflee Mohamed, 53, dan Lans Koperal Mohd Fauzi Embong, 33, menghadapi dua pertuduhan bersama atas kesalahan tersebut yang dilakukan pada 2010.

Mereka yang bertugas di Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dituduh secara bersama meminta wang tunai RM1,000 daripada Arban Shiti sebagai dorongan melepaskan lelaki itu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Setia Jaya 2, Taman Setia Jaya, Sitiawan dekat sini, jam 12.15 pagi, 17 November 2010.

Dua anggota polis diwakili peguam Ranjit Singh Sandu itu turut dituduh menerima RM300 daripada lelaki sama di hadapan pejabat Poslaju Sitiawan kira-kira jam 12.50 hari sama.

Kedua-dua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Selepas meneliti dan mempertimbangkan keterangan kedua-dua pihak termasuk keterangan saksi sepanjang perbicaraan dijalankan, Hakim Julie Lack Abdullah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

Berikutan itu,  Julie Lack berkata, kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman 12 bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara untuk pertuduhan kedua yang dijalankan serentak mulai semalam. Beliau turut menetapkan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas kedua-duanya.

Bagaimanapun, Ranjit memohon supaya kedua-dua anak guamnya dikenakan hukuman lebih ringan memandangkan ia merupakan kesalahan pertama mereka.

Ranjit turut meminta  Seksyen 173A Kanun Acara Jenayah yang memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melepaskan seseorang tertuduh tanpa mengambil kira bentuk kesalahan dilakukan.

Beliau juga memohon mahkamah memberi peluang kepada tertuduh untuk melepaskan mereka dengan memberikan bon berkelakuan baik dan mengubah cara hidup harian.

Selepas mendengar rayuan tersebut, Julie Lack masih mengekalkan hukuman sama dengan mengambil kira faktor keperluan awam.

Menurutnya, sepatutnya mereka harus berkelakuan amanah dan jujur dalam tugas diberikan. Mahkamah tidak dapat memberi kesan kepada permohonan peguam tertuduh di bawah Seksyen 173A Kanun Acara Jenayah.

Bagaimanapun beliau membenarkan penangguhan hukuman penjara ke atas kedua-dua mereka sehingga peguam mereka memfailkan notis rayuan dalam tempoh terdekat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar.

Sinar Harian 5 Sep 2013

0 comments:

Post a Comment