August 18, 2013

Tauke salun mati dibunuh

Seorang ahli keluarga melihat mangsa yang ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di sebuah pusat kecantikan di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 17 Ogos - Seorang wanita pemilik sebuah pusat kecantikan ditemui mati terlentang dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dan dikelar di premisnya di Jalan Indah, Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun ditikam sebanyak dua kali di bahagian perut.

Mangsa turut dikelar empat kali di leher serta masing-masing satu di belakang badan dan pergelangan tangan kanan.

Difahamkan, semasa kejadian mangsa bersama seorang pekerjanya sedang melakukan rawatan kecantikan kepada pelanggan sebelum premisnya didatangi seorang lelaki dan wanita yang berpura-pura menyamar sebagai pelanggan.

Selepas bertanyakan pelbagai soalan mengenai pakej ditawarkan di premis itu, tiba-tiba suspek lelaki dan pemilik kedai itu bertengkar sebelum keadaan menjadi senyap.

Pekerja yang sedang membuat rawatan kecantikan dalam bilik berhampiran yang curiga dengan keadaan itu keluar menjenguk apa berlaku dan terkejut melihat majikannya terbaring berlumuran darah lalu menghubungi polis dan hospital untuk mendapatkan bantuan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Supritendan Razak Md. Said berkata, hasil siasatan awal percaya motif kejadian adalah samun kerana dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan sejumlah wang didapati hilang selepas kejadian.

"Mangsa dipercayai ditikam menggunakan objek tajam dan polis menemui dua kesan tikaman serta enam kesan kelar di beberapa bahagian badan mangsa yang mati di tempat kejadian.

"Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan sedang mengesan dua suspek berusia lingkungan 20-an yang disyaki terlibat dalam kejadian itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pusat kecantikan itu tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan polis memerlukan maklumat orang ramai untuk membantu siasatan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sesiapa mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 07-2212999 atau balai berhampiran.

Utusan 18 Ogos 2013


Tiga suspek kes bunuh ditahan

JOHOR BAHRU - Polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nusajaya berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang pemilik pusat kecantikan di Taman Bukit Indah, di sini, 17 Ogos lalu, dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Kejayaan itu susulan penahanan dua lelaki dan seorang wanita berusia 16 hingga 37 tahun di lokasi berasingan hasil daripada maklumat awam pada tarikh yang sama.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Superintendan Razak Md Said berkata, kesemua suspek kini ditahan reman bermula semalam (kelmarin) sehingga 24 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Bertindak atas maklumat orang ramai, kira-kira jam 2 petang, polis menahan suspek pertama di Tampoi dan turut menahan suspek kedua di Pekan Nenas, Pontian.

“Suspek ketiga iaitu seorang wanita berusia 16 tahun ditahan bersembunyi di sebuah tokong di sekitar bandar raya ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di IPD Nusajaya, di sini semalam.

Razak berkata, hasil daripada penahanan kesemua suspek, polis menemui semula barang kes yang dilarikan antaranya wang tunai, telefon bimbit dan kamera selain merampas sebuah kereta serta senjata digunakan.

Katanya, ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah jenis ‘Morphine’ hasil daripada ujian air kencing yang dijalankan.

“Suspek utama memiliki 13 kesalahan lampau melibatkan kesalahan jenayah dan Akta Dadah berbahaya, manakala suspek kedua pula hanya Akta Dadah Berbahaya. Mereka pernah ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak di Simpang Renggam.

“Polis menyifatkan suspek sebagai penjenayah yang sering melakukan jenayah berulang. Manakala hubungan ketiga-tiga suspek adalah rakan,” katanya.

Beliau memberitahu, modus operandi digunakan suspek untuk melakukan samun adalah menyamar sebagai pelanggan sebelum mengeluarkan sebilah pisau bagi menakutkan mangsa supaya menyerahkan barang berharga.

“Dalam kejadian ini, oleh kerana mangsa enggan memberi kerjasama, suspek telah menikam mangsa di seluruh anggota badan,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang pemilik pusat kecantikan ditemui mati selepas dibunuh secara kejam dengan kesan tikaman di perut dan kelar pada bahagian leher dan badan.

Dalam perkembangan lain, Razak berkata, tiada kejadian jenayah melibatkan 497 buah rumah yang terlibat dalam Kempen Rumah Selamat bagi pentadbiran IPD Nusajaya.

Sinar Harian 20 Ogos 2013


Penganggur Didakwa Bunuh Pengusaha Pusat Kecantikan

JOHOR BAHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang pengusaha pusat kecantikan, dua minggu lepas.

Toh Kian Peng, 37, didakwa membunuh Liew Oi Mei, 39, menggunakan sebilah pisau di Cinderella Beauty Centre di Jalan Indah 1/1, Taman Bukit Indah pada kira-kira 11.30 pagi, 17 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.Tiada pengakuan dicatat.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias kemudian mengarahkan Toh dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan psikiatri dan menetapkan 30 September depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala Toh diwakili peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah. -BERNAMA

30 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment