August 11, 2013

Murid keluar beraya maut dilanggar kereta

Baling: “Arwah bangun awal pagi semalam (kelmarin) walaupun Aidilfitri masuk hari kedua kerana ingin bersama rakan lain untuk menziarahi sanak-saudara di kampung berdekatan.

“Dia macam biasa sebelum keluar rumah, cuma teruja untuk mendapat duit raya menyebabkan dia tergesa-gesa keluar bersama rakan,” kata Maznah Hassan, 42, ibu kepada Nur Nabihah Zainal, 10, yang maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di Jalan Baru Kulim Baling- Grik, berdekatan Kampung Padang Dan, Kupang, semalam.

Dalam kejadian jam 10.40 pagi, mangsa, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tiak, Kupang dikatakan keluar dari rumah jiran bersama rakannya untuk menyeberang jalan dan tertinggal di belakang dalam kumpulan rakannya yang lain.

Mangsa dikatakan melintas di jalan itu sebelum dilanggar sebuah kereta sehingga terpelanting ke atas cermin dan jatuh ke atas jalan.

Maznah berkata, arwah anak keempat daripada tujuh adik beradik bersemangat untuk keluar awal berhari raya bersama rakan lain kerana tidak puas berhari raya hari pertama.

“Arwah sempat bersalaman dan mencium sambil menceritakan dia mendapat duit yang banyak untuk disimpan dalam bank dan akan berkunjung lagi ke rumah jiran yang tidak sempat untuk berhari raya.

“Dia seperti biasa saja apabila rakannya datang ke rumah dan mengajak berkunjung ke rumah jiran, dan terkejut selepas dimaklumkan dia terbabit kemalangan ketika melintas jalan,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, kebiasaannya pada hari raya kedua dia akan duduk di rumah saja, tetapi kali ini arwah bersemangat untuk keluar berhari raya bersama rakan.

“Saya reda dengan apa yang terjadi dan menganggap Allah lebih sayangkan anak saya, malah dia meninggal di bulan yang baik ketika umat Islam menyambut hari mulia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Inspektor Fauzeli Mohd Ali berkata, mangsa dikatakan menyeberang jalan sebelum kereta Proton Saga dari arah Grik menuju Kulim merempuhnya. Beliau berkata, mangsa yang cedera parah di kepala dan dada dikejarkan ke HB sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12.35 tengah hari semalam.

myMetro 11 Ogos 2013


Murid teruja beraya dirempuh

BALING - “Dia tak tunjuk sebarang perubahan, tapi dia terlalu gembira kerana mendapat banyak duit raya. Disebabkan itu, dia bersemangat untuk keluar beraya di rumah jiran bersama rakan-rakannya,” kata Maznah Hassan, 42, ibu kepada Nur Nabihah Zainal, 10, yang maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Baru Baling-Grik, kira-kira jam 10.40 pagi kelmarin.

Maznah berkata, sebelum itu Nur Nabihah bangun awal pagi dilihat teruja hendak beraya di rumah jiran dan keluarga bersama rakannya di kampung berdekatan.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu dirempuh oleh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan berdekatan kampung di Kampung Padang Dan, Kupang.

Rempuhan itu mengakibatkan mangsa terpelanting di cermin hadapan kereta terbabit sebelum terjatuh di atas jalan.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia pada jam kira-kira 12.35 tengah hari di Hospital Baling.

Maznah berkata, sebelum kejadian, mangsa begitu gembira kerana mendapat duit raya yang banyak dan sempat bersalaman sebelum keluar untuk beraya di rumah jiran dan keluarga.

Difahamkan, murid Sekolah Kebangsaan Tiak, Kupang itu merupakan murid yang pintar dan amat disenangi oleh rakan-rakan termasuk gurunya.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Inspektor Fauzeli Mohd Ali berkata, mangsa dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Grik-Kulim.

Berdasarkan keterangan, pemandu terbabit tidak menyedari mangsa masih berada di belakang rakan-rakannya yang ketika itu sedang melintas jalan.

“Pemandu terbabit bersama keluarganya dalam perjalanan ke Kulim untuk berhari raya. Pemandu kereta bersama keluarga mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Padang Dan, Kupang, malam semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(c) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Sinar Harian 11 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment