August 11, 2013

Ibu tunggal kenang arwah suami

 
Wan Zaharah (empat kanan) menerima kunjungan Fauzi dan Chean Chung di rumahnya di Kampung Tiram, Kuantan.

KUANTAN – “Kedatangan Syawal kali ini begitu meruntun jiwa saya memandangkan ini pertama kali saya beraya tanpa suami yang meninggal April lepas akibat deman campak dan beberapa penyakit kronik lain.”

Demikian kata ibu tunggal, Wan Zaharah Wan Abdul Rahman, 51, yang kini berusaha gigih untuk membesarkan sembilan anaknya, dekat sini.

Aidilfitri tahun ini memberikan cabaran dan dugaan paling besar sepanjang tempoh perkahwinannya dengan arwah suami, Mohamad Zakaria, 53.

"Walaupun arwah hanya seorang pengutip besi buruk tetapi apabila tiba hari raya, dia suka berbelanja lebih memenuhi kehendak anaknya," katanya.

Wan Zaharah berkata, hatinya tersentuh apabila anak-anaknya sepakat untuk berjimat cermat dan sanggup beraya ala kadar sahaja kali ini.

“Sejak pemergian suami, saya masih lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara anak yang kesemuanya masih bersekolah," katanya.

Bagi mendapatkan wang, Wan Zaharah dan anak lelakinya yang masih belajar di sebuah kolej, menjual pisang yang ditanam di tepi rumah, selain menjual barangan terbuang seperti kertas, plastik dan besi kepada syarikat kitar semula.

Dia dalam pada itu bersyukur apabila adik kepada tuan rumah yang berbangsa Tionghua, Ah Her masih membenarkan mereka menumpang di atas tanah milik keluarganya.

“Saya dan arwah suami sudah tinggal menumpang di sini kira-kira 14 tahun lalu dan kalau ditakdirkan perlu mencari tempat tinggal lain, saya masih belum berkemampuan untuk berbuat demikian memandangkan kos rumah sewa sekarang agak mahal,” katanya semasa ditemui di kediamannya di Kampung Tiram.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Fauzi Abd Rahman dan Adun Semambu, Lee Chean Chung.

Wan Zaharah juga bersyukur apabila anaknya Fasihah Mohammad, 25, juga bekas graduan yang bekerja di salah sebuah kedai serbaneka di pusat bandar sanggup berkorban membantu meringankan beban ibunya.

Sinar Harian 11 Ogos 2013

0 comments:

Post a Comment