July 22, 2013

Wanita jadi mangsa master auta

KEPONG - Seorang wanita mengalami kerugian kira-kira RM 110,000 dipercayai ditipu seorang individu yang menggelarkan diri sebagai master dan mampu mengubati penyakit diabetes.

Mangsa, Chin Siew Chan, 50, memaklumkan sebelum kejadian itu, dia telah disapa seorang wanita yang tidak dikenali di Pasar Pagi Desa Jaya kira-kira jam 10.30 pagi pada 12 Julai lalu.

Menurut Chin, wanita tersebut kemudiannya memberi penerangan dan memaklumkan mengenai tabib tersebut yang dipercayai mampu mengubati penyakit berkenaan.

“Wanita berkenaan memaklumkan bahawa sebelum ini ramai pesakit diabetes sembuh setelah mendapat rawatan daripada master itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Chin, dia yang juga merupakan penghidap penyakit sama tidak berfikir panjang dan terus mengikut wanita terbabit bagi mendapatkan rawatan dengan tabib tersebut.

Chin berkata, wanita terbabit memperkenalkannya dengan seorang lelaki yang difahamkan merupakan cucu kepada tabib itu.

“Dia memaklumkan bahawa master itu sibuk dan mengarahkan supaya saya menyediakan seberapa banyak wang untuk digunakan bagi tujuan sembahyang dan akan dikembalikan selepas upacara itu selesai,” katanya.

Tambahnya, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit, dia kemudiannya bersetuju dan dibawa menaiki kenderaan milik mereka untuk mengeluarkan wang.

Jelas Chin, dia telah menyerahkan barang kemas miliknya serta wang yang dikeluarkan sebanyak RM100,000 dari dua akaun bank peribadi miliknya kepada pihak terbabit.

"Mereka kemudiannya menghantar saya pulang ke pasar berkenaan memandangkan kenderaan saya diparkir di situ.

“Selepas itu, saya kemudiannya masuk ke dalam kereta saya dan mereka mengarahkan supaya saya tidak membuka beg berisi wang terbabit dalam tempoh masa sebulan bagi membolehkan rawatan tersebut berjalan lancar,” katanya.

Menurut Chin, keesokan harinya, dia merasa amat terkejut setelah mendapati wang berkenaan telah hilang ketika hendak membayar yuran kelas tuisyen anaknya itu.

“Berikutan dari itu, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Desa Jaya pada 13 Julai lalu bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya.

Sinar Harian 22 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment