July 4, 2013

Kereta terbabas lelaki diserang sakit jantung

Mohd Basri Diak

Beginilah keadaan kereta Mohd Basri yang merempuh sebatang pokok di bahu jalan. 

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang memandu kereta ditemani isteri dan seorang anak maut selepas dipercayai diserang sakit jantung sebelum kenderaannya itu terbabas dan merempuh pokok.

Kejadian berlaku di Jalan Wakaf Tembesu-Jalan Lapangan Terbang Gong Badak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa, Mohd Basri Diak, 43, maut di tempat kejadian dipercayai akibat serangan jantung manakala isterinya, Nor Ruzita Abd Aziz, 40, dan anaknya, Nur Qaseh Batrisya, 2, hanya mengalami cedera ringan.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payong, Marang, selepas selesai bermain futsal di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengalami serangan jantung gagal mengawal kenderaan dipandunya sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Bagaimanapun, mangsa masih bernafas semasa kejadian dan cuba dibantu isteri serta orang ramai yang melihat kejadian, namun dia meninggal dunia beberapa minit kemudian,” katanya, semalam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dan hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan di Jalan Semarak-Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa, Mohd Shaidan Mohd Noor, 19, dari Kampung Pak Tijah, Teluk Batin, Seberang Takir, di sini, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum motosikalnya dikatakan bergesel dengan sebuah motosikal lain lalu terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), untuk dibedah siasat,” katanya.

Sinar Harian 5 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment