July 4, 2013

Bahang disangka cuaca panas

Salim (kiri) menunjukkan tempat api mula marak sehingga memusnahkan bahagian dapur rumahnya.

BATU PAHAT – “Semasa saya tidur ada terasa bahang, sangkaan saya cuaca yang terlalu panas, jika dia tidak mengejutkan saya tidak tahu apa yang akan terjadi,” kata Masidah Baseri, 43.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 tengah hari itu, menurut Masidah, dia terjaga daripada tidur sebaik saja dikejutkan anaknya yang berusia dua tahun.

“Sebaik terjaga, saya terdengar letupan kecil dan lihat kepulan asap dari bahagian dapur lalu bergegas memanggil jiran berdekatan untuk membantu memadamkan api yang sedang marak dan segera menghubungi bomba.

“Ketika itu, saya panik seketika dan hanya mampu berfikir tentang keselamatan anak dan diri saja,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas, tetapi mujur api tidak merebak ke bahagian ruang tamu rumah dan rumah jiran lain berhampiran apabila penduduk berusaha memadamkan api sementara menunggu pasukan bomba dan penyelamat tiba.

“Walaupun sedih dengan kejadian yang telah membuatkan bahagian dapur rumah hangus, saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku melibatkan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Betong, Parit Sulong, dekat sini.

Sementara itu, suaminya, M Salim Yusof, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang memancing di parit berhampiran rumahnya sebelum dimaklumkan jiran mengenai kejadian itu.

Katanya, dia hanya sempat mengambil beberapa barang kemas yang disimpan dalam bilik dan mengeluarkan beberapa perabot dengan bantuan penduduk, tetapi wang tunai hasil simpanannya hangus terbakar,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari, M Nasir M Shah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.52 pagi sebelum lapan anggota termasuk satu jentera dari Jalan Timah Sari bergegas ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

“Bagaimanapun kami alami kesukaran kerana kampung itu tidak mempunyai papan tanda dan tidak mempunyai bekalan air. “Punca kebakaran masih disiasat dan api berjaya dipadam dalam masa 10 minit,” katanya.

Sinar Harian 5 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment