July 4, 2013

Bapa dibelasah penyamun


SEGAMAT: "Saya sangka kenalan menelefon untuk membeli durian namun terkejut apabila dia memaklumkan bapa cedera dibelasah sebelum disamun," kata peraih durian dikenali sebagai Lim, 33, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.15 petang semalam, bapa Lim iaitu Soo, 63, sedang membersihkan kebun getahnya di sekitar Labis di sini, sebelum dibelasah dua lelaki bermotosikal.

Akibatnya, Soo parah di kepala serta badan namun keadaannya kini stabil.

Menurut Lim, rakannya itu memaklumkan Soo dihantar ke Klinik Kesihatan Labis sebelum dirujuk ke Hospital Segamat.

Menurut Lim, bapanya sempat menceritakan apa yang berlaku sebelum dihantar ke klinik berkenaan.

Lim kemudiannya melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, dua suspek bermotosikal dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

"Penjenayah menyerang mangsa dengan kayu dan turut menyamunnya. Mangsa kehilangan dompet berisi wang tunai RM600, Mykad, lesen memandu serta motosikal Yamaha LC berwarna biru bernombor pendaftaran JLV2281.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara ini diminta tampil membantu siasatan," katanya.

myMetro 4 Jul 2013

0 comments:

Post a Comment