June 15, 2013

Sanggup tendang pegawai JKM

MELAKA - Gara-gara enggan dihantar semula ke rumah kebajikan, seorang warga emas bertindak ganas dengan menendang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ketika ditahan di Jalan Hang Tuah petang kelmarin.

Lelaki berusia 65 tahun yang merupakan penduduk tetap berasal dari Indonesia itu didapati melarikan diri daripada sebuah rumah perlindungan orang tua di Johor sejak dua tahun lalu.

Dia bagaimanapun berjaya ditenangkan sebelum ditahan dalam Operasi Pemulihan Bersepadu JKM di sekitar Melaka Tengah kelmarin.

Timbalan Pengarah JKM negeri, Che Azman Che Haron berkata, operasi yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar itu disertai oleh sejumlah 50 anggota termasuk pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, seramai lima orang gelandangan berusia antara 45 hingga 65 tahun telah ditahan dan diselamatkan dalam operasi yang dijalankan mulai jam 5 petang hingga 10 malam itu.

“Tumpuan operasi lebih tertumpu kepada kawasan yang menjadi tumpuan pelancong sekitar Melaka Tengah di mana kita bahagikan kesemua yang terlibat kepada tiga kumpulan.

“Sasaran kita ialah di kawasan-kawasan seperti pasar malam, kawasan pelancongan di Banda Hilir dan kawasan awam seperti di bank dan pusat membeli-belah,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam kelmarin.

Che Azman berkata, operasi seumpama itu dilakukan pihaknya secara berkala dan daripada 50 operasi yang dijalankan sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sejumlah 10 orang gelandangan telah berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Latipah berkata, operasi yang dijalankan merupakan usaha kerajaan negeri membanteras golongan gelandangan di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dan orang awam.

“Dalam operasi yang dijalankan, kita melihat ada di antara mereka yang terbiar dengan tinggal selama berbulan-bulan di kaki lima, malah ada juga yang terbiar ini menerima bantuan JKM tetapi tidak mahu berasa terkongkong dalam jagaan JKM.

“Bagaimanapun kita harapkan JKM dapat bertindak tegas dengan mengambil mereka-mereka ini untuk ditempatkan di rumah-rumah orang tua dan diberikan perlindungan yang sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan JKM untuk meneruskan operasi-operasi susulan termasuk pada waktu malam dan Ramadan ini bagi memastikan tiada golongan gelandangan yang terbiar begitu sahaja.

Sinar Harian 15 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment