June 15, 2013

Wang lesap dengan hanya satu panggilan telefon

KLUANG - Wang simpanan seorang ahli perniagaan wanita sebanyak RM191,300 lesap dengan hanya satu panggilan telefon oleh sindiket penipuan yang menyamar sebagai  pegawai Bank Negara.

Dalam kejadian 3 Jun lalu, wanita berusia lingkungan 20-an itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku pegawai Bank Negara.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata menerusi perbualan telefon itu, mangsa diberitahu bahawa akaunnya sedang digunakan untuk pemindahan wang haram ke luar negara.

“Berikutan itu, pemanggil mendakwa kononnya Bank Negara perlu mengambil tindakan dengan membekukan pengaliran wang wanita tersebut serta merta dan mangsa kemudian diminta memindahkan semua wangnya ke akaun lain yang diberikan Bank Negara.

“Bagi memberikan kerja- sama, mangsa telah memindahkan RM191,000 ke dalam akaun diberikan sindiket berkenaan. Malangnya, selepas pemindahan dibuat nombor telefon digunakan kononnya dari Bank Negara itu tidak dijawab,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Abdul Majid berkata, akibat rasa ditipu, mangsa membuat laporan polis dengan segera bagi mengesan suspek.

Katanya, selepas tiga hari, polis berjaya mengesan suspek, seorang lelaki berusia 30-an yang menetap di Seremban.

“Hasil maklumat, polis berjaya menahan suspek di Seremban dan siasatan terhadap akaunnya mendapati wang wanita itu telah dipindah kepada pihak lain dan baki yang tinggal hanya RM50,000.

“Kita percaya suspek terdiri daripada sindiket penipuan yang digelar ‘Macau Scam’ iaitu melakukan penipuan melalui panggilan telefon dan melibatkan pemindahan wang daripada akaun bank mangsa,” katanya.

Suspek kini telah ditahan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta disebat sekiranya sabit kesalahan.

Sinar Harian 15 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment