June 22, 2013

Dua beradik tak pernah serik


Shah Alam: Si adik berstatus ‘Orang Kena Sekatan’ atas kes dadah manakala si abang baru beberapa bulan dibebaskan dari penjara juga atas kesalahan dadah. Namun, dua beradik ini tidak serik dan masih menjadi pengedar dadah aktif sejak lima bulan lalu.

Dua beradik berusia 29 dan 32 tahun itu bagaimanapun ditahan bersama 13.6 kilogram (kg) heroin yang dianggarkan bernilai RM720,000 dalam satu operasi khas Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Jalan Semenyih, di sini, kelmarin.

Kedua-dua suspek ditahan pada jam 12 tengah hari selepas polis menerima maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan yang dijalankan mereka.

Intipan dijalankan kemudian mengesan dua suspek menaiki sebuah motosikal Honda Wave di Jalan Semenyih bersama beg sandang dipercayai menunggu pelanggan.

Sebaik anggota polis memperkenalkan diri, suspek yang terkejut kemudian cuba melarikan diri, namun ditahan walaupun berlaku pergelutan antara mereka dan menemui 30 peket dadah heroin.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata, sewaktu ditahan suspek dipercayai mahu menyerahkan dadah berkenaan kepada seorang lagi pengedar, namun cubaan itu dipatahkan polis.

Menurutnya, dadah dirampas seberat 13.6kg dan mengikut harga pasaran, harganya boleh mencecah RM720,000 dan jika dipecahkan dalam bentuk lebih kecil, ia boleh dijadikan 9,000 paket dengan harga pasaran RM80 sebungkus. “Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan kes jenayah dan ujian air kencing mendapati mereka juga positif dadah.

“Polis akan menyiasat dari mana suspek memperoleh dadah dan kami juga mengesan individu terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

myMetro 22 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment