June 9, 2013

Dewan Tok Kenali perlu RM100,000

Lokman (tengah) melaksanakan pembinaan Dewan, Tahfiz Al-Quran dan Pusat Pengajian Hadis Tok Kenali di Wakaf Stan, di sini.

KOTA BHARU - Pembinaan Dewan, Tahfiz Al-Quran dan Pusat Pengajian Hadis Tok Kenali yang bermula sejak 24 Februari lalu masih memerlukan dana kira-kira RM100,000 bagi menyiapkan tapak tingkat satu.

Penaung Masjid Tok Kenali, Lokman Ahmad berkata, setakat ini, jumlah yang berjaya dikumpulkan sejak tujuh tahun lalu kira-kira RM140,000, sekarang ini sudah RM50,000 digunakan untuk kerja pembinaan.

“Fasa pertama iaitu pembinaan tingkat bawah dewan bermula sejak Februari lalu dengan peruntukan kepada tukang RM2,000 seminggu dan tempahan barangan mentah RM7,000.

“Setakat ini, sebanyak RM50,000 peruntukan diberikan untuk pembinaan fasa pertama dan jumlah baki yang tinggal RM90,000. Ini bermakna kira-kira RM100,000 diperlukan untuk pembinaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Lokman berkata, kos sebenar dalam cadangan tambahan dan pengubahsuaian dewan tiga tingkat itu adalah RM442,500 iaitu melibatkan kos bangunan (termasuk kerja elektrik) dan yuran perundingan arkitek dan jurutera struktur.

Kata beliau, biarpun kos pembinaannya masih belum mencukupi kira-kira RM355,000, namun beliau tetap meneruskan hasrat menubuhkan dewan dan pusat tahfiz berkenaan.

“Dewan, Tahfiz Al-Quran dan Pusat Pengajian Hadis Tok Kenali ini dibina bagi mengembangkan ilmu kepada penduduk setempat, pengunjung dan generasi muda,” katanya.

Kata beliau, pada masa sekarang, dalam inisiatif mencukupkan peruntukan tersebut, beliau menggiatkan usaha membuat kutipan di masjid-masjid berlainan setiap Jumaat.

Katanya, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 553104411293 atas nama Dewan Tok Kenali atau mereka yang prihatin boleh menghubungi talian 012-9540237 dan 09-7654666.

Sinar Harian 9 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment