June 24, 2013

Bakal pengantin dipenjara

SUNGAI BESAR – Seorang pekerja buruh terpaksa menangguhkan hasrat perkahwinannya yang dijadual Ogos depan kerana dijatuhi hukuman penjara 13 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar.

Tertuduh, Mohd Hanafi Othman, 29, dari Parit 5 Gambut, Sungai Besar mengaku bersalah di hadapan Majistret Shah Wira Abdul Halim yang menetapkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkapnya pada 6 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan pada jam 9 pagi di Jalan Pantai Bagan Sungai Besar kerana mengambil dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 0.17 gram pada tarikh sama dia ditangkap.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa di bawah Seksyen 12 (3) Akta yang sama yang boleh memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh semasa dalam rayuannya kepada mahkamah memohon supaya hukuman ke atasnya dikurangkan memandangkan dia perlu menanggung dan menyara keluarganya di kampung selain akan berkahwin dalam tempoh terdekat.

“Saya perlu tanggung keluarga dan tidak lama lagi saya akan berkahwin. Saya minta mahkamah mempertimbangkan hukuman ke atas saya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan selepas mengaku bersalah di mahkamah yang sama selepas didapati positif dadah.

Muhamad Hanis Muhamad Termidi, 23, didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang di Jalan Abu Samah, Sungai Besar pada 1 Mei lalu.

Kedua-dua kes itu dikendalikan, Pegawai Pendakwa, Inspektor Ganes Arumugam.

Sinar Harian 23 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment