June 24, 2013

Rumah kakitangan hospital dilempar bahan letupan

PULAU PINANG 23 Jun - Seorang kakitangan Hospital Balik Pulau (HBP) cemas selepas rumahnya dilempar bahan letupan ketika mangsa sedang tidur di kediamannya itu di sebuah unit pangsapuri di Jalan Tengah, Bayan Baru di sini pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu menyebabkan pintu hadapan rumah didiami mangsa yang mahu dikenali sebagai Tan, 22, rosak dengan terdapat kesan terbakar.

Menurut Tan, pada mulanya dia menyangka bunyi letupan itu datangnya dari kawasan sekitar pangsapuri tetapi terkejut sebaik sahaja mendapati pintu hadapan rumahnya rosak.

"Saya tidak tahu mengapa rumah saya dilemparkan bahan letupan. Saya tinggal seorang diri manakala ahli keluarga semua di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui di sini.

Difahamkan, hasil pemeriksaan polis mendapati bahan letupan tersebut merupakan mercun yang bersaiz dua kali ganda bola tenis dan sering digunakan dalam upacara keagamaan masyarakat Tionghua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Md. Zin mengesahkan kejadian dan pihaknya turut menerima satu lagi laporan mengenai kejadian serupa di kawasan berdekatan namun tiada kerosakan serius berlaku.

"Kedua-dua kes masih dalam siasatan dan kita telah mengarahkan pegawai penyiasat ke lokasi kejadian untuk merekodkan keterangan mangsa," jelasnya kepada pemberita dalam satu program kemasyarakatan di sini.

Kes itu, kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Utusan 24 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment