June 16, 2013

3 remaja terbunuh, seorang cedera kemalangan di Lebuhraya Persekutuan

MANGSA-MANGSA yang meninggal dunia (gambar dari kiri) Adam. Ab. Rahman, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan manakala Nurfarina Mokhtar (gambar kanan) tercedera.

PETUGAS lebuh raya membersihkan  kawasan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di KM 14.5, Lebuhraya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, pagi ini. Tiga mangsa maut dan seorang parah dalam kejadian itu. - Foto Osman Adnan Jun 16, 2013 8:13 am / Berita Harian

KEADAAN kereta Perodua Viva yang terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan menyebabkan tiga pelajar IPTA terbunuh manakala seorang cedera dalam kejadian di Lebuh Raya Persekutuan, di Shah Alam awal hari ini. - UTUSAN

PETUGAS lebuh raya mengangkat serpihan kereta mangsa yang hancur. Gambar myMetro

BEGINILAH keadaan sebuah kereta Perodua Viva yang remuk hingga mengorbankan tiga individu selepas terlibat dalam satu nahas di Shah Alam semalam.

Tiga sahabat maut, seorang cedera dalam kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan

SHAH ALAM: Tiga sahabat maut manakala seorang cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, dekat sini, hari ini.

Insiden 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu Perodua Viva, Adam Abdul Rahman yang berasal dari Muar, Johor dan dua rakannya, Ameer Asyraf Sulaiman (Jasin, Melaka) dan Nurul Maizura Maidan Dali (Labuan, Sabah) meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Trafik Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah ketika dihubungi berkata, seorang lagi rakan mereka, Nurfarina Mokhtar berasal dari Kelantan, yang juga penumpang di bahagian depan hanya cedera ringan.

"Mayat Adam, Ameer dan Nurul Maizura dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk bedah siasat manakala Nurfarina menerima rawatan lanjut di hospital yang sama.

"Kesemua mangsa berusia 18 tahun. Adam, Ameer dan Nurfarina adalah penuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam manakala Nurul Maizura pula penuntut di Universiti Putra Malaysia, Serdang," katanya.

Ruslan berkata, ketika kejadian, keempat-empat sahabat itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari taman tema i-City, di sini ke Kuala Lumpur.

"Berikutan kejadian itu, kesemua mangsa tersepit dalam kereta dan kita (polis) terpaksa meminta bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk mengeluarkan mangsa.

"Polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan... sama ada ia disebabkan kecuaian pemandu atau berpunca dari (kerosakan) kenderaan itu," katanya. - BERNAMA

16 Jun 2013


3 pelajar IPTA maut kereta rempuh pembahagi jalan

SHAH ALAM 16 Jun - Tiga daripada empat pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) maut selepas kereta Perodua Viva yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuh Raya Persekutuan di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan pada pukul 5.15 pagi itu, pemandu Adam Ab. Rahman bersama Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan yang duduk di bahagian penumpang belakang mati di tempat kejadian.

Bagaimanapaun, seorang lagi mangsa, Nurfarina Mokhtar yang duduk di sebelah pemandu bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa berusia 18 tahun dan mereka baru mendaftar masuk ke IPTA masing-masing dua minggu lalu.

Adam merupakan pelajar Diploma Pengajian Sukan di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang; Ameer (pelajar asasi jurusan perakauan di UiTM Shah Alam); Nurfarina (pelajar asasi Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, UiTM Shah Alam) manakala Nurul Maizura (pelajar asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia).

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, ketika kejadian, empat sahabat tersebut dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Shah Alam dipercayai selepas mengunjungi taman tema i-City di sini.

Menurutnya, setiba di lokasi, kereta berwarna kuning terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

"Akibat daripada rempuhan kuat, bonet kereta yang terperosok di bawah pembahagi jalan rosak teruk dan dinding kereta sebelah kanan terkopak menyebabkan pemandu dan seorang penumpang wanita yang duduk di belakang tercampak keluar.

"Dua mangsa lagi ditemui dalam kenderaan tersebut namun seorang daripada mereka telah meninggal dunia kerana cedera parah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ruslan memberitahu, kesemua mangsa yang maut akibat cedera parah di kepala dan anggota badan manakala mangsa yang cedera ringan hanya luka serta lebam di muka. - UTUSAN ONLINE

16 Jun 2013


Nahas ragut nyawa 3 penuntut

Info grafik kemalangan maut.

Keadaan kereta yang remuk dalam kemalangan di KM14.5 Lebuhraya Persekutuan dari Shah Alam menuju Kuala Lumpur, semalam.

Ameer Asyraf, Nurul Maizura, Adam

SHAH ALAM - Penuntut tunggal yang terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga rakannya masih bagaikan masih tidak tahu apa sebenarnya berlaku, selepas tragedi itu.
 
“Nasib kawan-kawan lain tidak diketahui. Mereka dalam perjalanan ke hospital,” kata Nurfarina Mokhtar ketika menghubungi rakannya, Nadiea Syahira Che Azhar, selepas kereta Perodua Viva dinaiki bersama tiga kawannya hilang kawalan dan terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Persekutuan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kereta terbabit dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari I City, Shah Alam.

Penuntut yang maut dikenali sebagai pemandu, penumpang Adam Ab Rahman, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan Dali.

Nurfarina cedera ringan. Kesemua mangsa berusia 18 tahun itu merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Nadiea Syahira, 18, berkata, ketika kejadian itu, Nurfarina tidur di tempat duduk sebelah pemandu dan tersedar apabila terdengar dentuman kuat.

“Nurfarina menangis apabila menghubungi saya kira-kira jam 6 pagi. Dia cedera di muka, keadaannya stabil dan masih trauma,” katanya.

Nurfarina merupakan penuntut Teaching English Second Language) di Pusat Asasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Rakan baik Ameer Asyraf, Amirul Aiman Roslan, 18, berkata, dia mengenali Ameer sejak tingkatan satu lagi di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR).

“Tidak sangka ketika kami menyambung pengajian di UiTM, kami tinggal sebilik,” katanya.

Amirul berkata, arwah selalu berkata kepadanya, dia bosan tinggal di kolej itu kerana tidak banyak aktiviti yang boleh dibuat di dalam bilik memandangkan arwah sangat aktif dalam bidang sukan.

“Sekiranya dia bosan, dia akan ikut ke mana rakannya pergi walaupun rakannya hanya mahu mengeluarkan duit di mesin pengeluaran duit (ATM),” katanya.

Sepupu Ameer Asyraf, Mohd Redzuan Mansor, 31, pula berkata, dia terkejut dengan kejadian menimpa sepupunya itu kerana tidak sangka nenek Ameer Asyraf baru meninggal dunia, Isnin lalu, akibat sakit tua, kini sepupunya pula maut kemalangan.

“Ameer seorang yang periang dan aktif dalam ragbi. Dia pernah mewakili SDAR,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintendan Ruslan Abdullah berkata, kereta dinaiki empat sekawan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan tersebut, kereta itu remuk dan dipercayai pemandu dan seorang perempuan yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar. Seorang lelaki ditemui maut dalam kereta, manakala seorang lagi selamat,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera ringan dirawat di hospital sama.

Sehubungan itu, Ruslan meminta saksi kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi bantu siasatan atau menghubungi Balai Polis Trafik Shah Alam di talian 03-55202222.

Sinar Harian 17 Jun 2013


Nahas 3 penuntut: Gurauan terakhir Adam

MUAR – “Adam yang kahwin, mak...Adam yang kahwin,” antara gurauan terakhir Adam Ab Rahman kepada ibunya apabila ditanya  majlis perkahwinan siapa dihadiri di Kuala Lumpur sebelum terlibat kemalangan, awal pagi kelmarin.

Remaja berusia 18 tahun itu, sempat bergurau bersama ibunya menerusi panggilan telefon.

Penuntut Tahun Satu Diploma Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang itu maut dalam kemalangan selepas  kereta dinaiki bersama rakan-rakannya hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan di KM 14.5 Lebuhraya Persekutuan.

Nahas itu turut mengorbankan dua rakannya, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan  Dali, masing-masing berusia 18 tahun ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari I-City, Shah Alam.

Ibu mangsa, Saadah Khanan, 47, mengakui memahami maksud tersirat di sebalik gurauan ‘kahwin’ yang diucapkan Adam apabila  anaknya itu diraikan oleh saudara mara dalam suasana yang hiba iaitu pada hari pengebumiannya petang kelmarin.

“Saya tidak sangka ‘kahwin’ yang disebut arwah dalam telefon tempoh hari itu adalah petanda dia akan meninggalkan saya buat selama-lamanya.

“Saya tak dapat lupakan gurauan itu. Masih jelas suara dia di telinga saya hingga hari ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Saadah berkata, dalam panggilan telefon itu, anaknya turut berkali-kali meminta supaya mendoakannya selain memulakan serta mengakhiri panggilan dengan ucapan salam yang tidak pernah dilakukan Adam sebelum ini.

Jenazah Adam selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, 6.30 petang kelmarin.

Sinar Harian 18 Jun 2013


Nahas 3 penuntut: 'Arwah peluk, cium saya'

JASIN - "Dia masuk dalam kereta, terus peluk dan cium saya," kata Salmi Wahidin, 50, ibu penuntut IPT, Ameer Asyraf Sulaiman, 18, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuh Raya Persekutuan, berdekatan Shah Alam, awal pagi kelmarin.

Menurutnya, kejadian pelik itu berlaku semasa kali terakhir dia datang ke Kolej Jati UiTM Shah Alam bertemu anak bongsunya itu untuk menghantar dokumen pinjaman PTPTN, Rabu lalu.

“Selalunya bila nak berpisah baru arwah akan cium dan peluk saya. Tapi hari itu, sebaik saja kami sampai, dia masuk dalam kereta dan terus mencium dan memeluk saya.

“Saya tidak syak apa-apa. Tapi bila semua ini berlaku, baru saya perasaan perangai peliknya itu menandakan dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.

Menurut Salmi, anaknya baru dua minggu mendaftarkan diri di UiTM dalam jurusan perakaunan.

“Sebelum ini, dia mendapat tawaran sambung pelajaran di Matrikulasi Kedah, namun disebabkan jarak jauh, dia menolak. Arwah kemudian dapat tawaran ke UiTM. Dia gembira kerana tawaran itu tepati jurusan dan IPT yang dia minati," katanya.

Salmi berkata, sebelum kejadian, dia sempat menghubungi anaknya itu dan berpesan supaya tidak pulang lewat.

Sementara itu, kakak kedua arwah, Aizatul Aqma Sulaiman, 24, berkata, adiknya itu paling rapat dengannya.

Menurutnya, dia tidak nampak perubahan pada diri arwah, namun pesanan kali terakhir arwah padanya ketika bertemu Rabu lalu, benar-benar memberi kesan kepadanya.

“Sebelum saya dan mak nak balik ke Melaka, ketika bersalam, arwah pesan pada saya ‘jaga diri'.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemendor selepas solat Asar, kelmarin.

Sinar Harian 18 Jun 2013


Nahas 3 penuntut: Mangsa masih trauma

SHAH ALAM- “Saya minta maaf banyak-banyak. Saya tak boleh cakap lagi pasal kemalangan semalam (kelmarin),” kata mangsa yang terselamat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 14.5 Lebuhraya Persekutuan, Nurfarina Mokhtar.

Nurfarina,18,  enggan menceritakan bagaimana kemalangan itu berlaku yang menyebabkan tiga rakannya terkorban.

“Saya masih bersedih dengan apa yang yang berlaku kepada rakan saya yang lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kata Nurfarina, dia sudah pun keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, petang kelmarin setelah terima rawatan.

“Saya menerima enam jahitan di dahi dan alhamdulillah, doktor mengesahkan saya tidak mengalami kecederaan serius sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Superintenden Ruslan Abdullah berkata, pihaknya masih lagi siasat punca sebenar kemalangan tetapi difahamkan, kereta dipandu Adam Ab. Rahman, 18, hilang kawalan sebelum terbabas.

Kelmarin, tiga daripada empat penuntut universiti  maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5.15 pagi itu, Adam Ab. Rahman, Ameer Asyraf Sulaiman dan Nurul Maizura Maidan maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian, empat orang rakan itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas bersiar-siar di Taman Tema i-City, Seksyen 7, di sini.

Sinar Harian 18 Jun 2013

1 comment:

  1. kata arwah kakak sepupu saya pula sebelum bberapa hri meninggal..."mom..ni last time kita shopping..."...nurul maizura.....

    ReplyDelete